Logik politik Tun Dr Mahathir yang ke laut



Sungguh pelik sekali nampaknya cara Tun Dr Mahathir berfikir kebelakangan ini.

Hanya berdasarkan satu perkara yang belum dapat dipastikan, iaitu bahawa UMNO tidak akan bersetuju bekerjasama dengan BERSATU dalam PRU 15, terus sahaja beliau buat kesimpulan bahawa BERSATU akan kalah teruk dalam PRU 15 jika tidak bekerjasama dengan PH.

Sedangkan berdasarkan satu perkara yang sudah dapat dipastikan, iaitu bahawa orang-orang Melayu menolak DAP, kaji selidik yang dilakukan oleh think tank BERSATU sendiri mendapati bahawa BERSATU akan kalah teruk dalam PRU 15 jika terus bekerjasama dengan PH.

Kaji selidik yang dibentangkan kepada Tun Dr Mahathir selepas PRK Tanjung Piai ini malah mendapati BERSATU akan hilang semua kerusinya, termasuk kerusi Tun Dr Mahathir di Langkawi dan kerusi Datuk Seri Mukhriz di Jerlun, jika BERSATU kekal dalam PH.

Berdasarkan dapatan kaji selidik ini, selain tindakan DAP menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk menekan orang-orang Melayu dan pengkhianatan DAP di Tanjung Piai, maka Tun Dr Mahathir dicadang oleh BERSATU untuk membuat rombakan kabinet besar.

Begitupun, terus juga Tun Dr Mahathir mempertahankan Lim Guan Eng di Kementerian Kewangan, walaupun beliau dinasihat untuk menggantikan Lim Guan Eng dengan Datuk Seri Mustapa Mohamad, dan terus juga beliau mempertahankan tindakan pemimpin DAP lain

Tidak masuk akal untuk Tun Dr Mahathir menyebut masa depan BERSATU hanyalah bersama dengan PH tatkala semua data kaji selidik, termasuk data BERSATU, Ilham Centre, IDE dan TSIS, menunjukkan BERSATU akan kalah teruk jika ia terus bersekongkol dengan DAP.

Penolakan orang-orang Melayu ke atas DAP adalah satu perkara yang tidak boleh ditakwilkan lagi, tetapi penolakan UMNO (dan PAS) untuk bekerjasama dengan BERSATU dalam PRU 15 adalah satu perkara yang masih belum diputuskan secara mutlak dan boleh dirundingkan.

Hubungan antara BERSATU dengan UMNO (dan PAS) sekarang samalah dengan hubungan antara UMNO dengan PAS waktu pembentukan Kerajaan Campuran pada tahun 1973 dahulu yang menyebut soal kerjasama menghadapi PRU hanya akan diputuskan bila tiba masanya.

Begitupun, bila tiba masanya PRU hendak dilangsungkan, atas semangat kepentingan ummah UMNO dengan PAS tetap juga meneruskan kerjasama itu walaupun sebelumnya kerjasama UMNO dan PAS masih belum erat serta tidak terikat secara rasmi dalam bentuk organisasi.

Jika UMNO dan PAS dapat meneruskan kerjasama menghadapi PRU setelah hanya setahun setengah bersama dalam Kerajaan Campuran, apakah tidak mungkin BERSATU, UMNO dan PAS meneruskan kerjasama menghadapi PRU setelah tiga tahun bersama dalam kerajaan?

Atas semangat kepentingan ummah, pastilah ia adalah sesuatu yang sangat mungkin.

https://www.facebook.com/100001022016761/posts/3232982676745768/
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post