NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiga kuasa besar di saat Covid-19


oleh: Abdul Muein Abadi

SAAT ini tiga kuasa besar yang utama dalam sistem antarabangsa iaitu Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia memainkan peranan yang berbeza dalam mengharungi krisis pandemik Covid-19.

Namun begitu, ketiga-tiga kuasa besar itu tetap memiliki satu persamaan: kesemuanya tetap giat berusaha membangunkan kuasa ketenteraan masing-masing.

Minggu lalu menyaksikan bagaimana Rusia mengirim bantuan perubatan kritikal kepada beberapa negara termasuk Itali yang merupakan antara negara Eropah yang paling terjejas dengan Covid-19. China pula mengirim berpuluh ribu topeng muka serta bantuan ke seluruh dunia – termasuklah ke negara kita.

Namun begitu, hakikatnya China masih tetap mengukuhkan kedudukan mereka di Laut China Selatan apabila mereka dilaporkan membina dua stesen baharu, menceroboh ruang udara Filipina dan juga pesawat Naval Bomber H-6J mereka dikesan dari platform minyak Malaysia.

Kedua-dua stesen baharu mereka itu di Kagitangan (Fiery Cross) dan Terumbu Zamora (Subi) terletak di wilayah yang dituntut Filipina.

Rusia pula pada 10 Februari 2020 buat pertama kali dalam sejarah melancarkan ‘konfrontasi’ satelit ke atas AS seperti mana dilaporkan portal terkemuka TIME dengan tajuk Exclusive: Strange Russian Spacecraft Shadowing U.S. Spy Satellite, General Says.

‘Konfrontasi’ itu terjadi apabila satelit Rusia yang dikenali sebagai Cosmos 2542 dan Cosmos 2543 yang dilancarkan sekali gus pada 25 November 2019 kemudiannya menghimpit satelit ketenteraan AS, USA 245 yang juga dikenali sebagai KH-11.

Menariknya, kedua-dua satelit Rusia itu dilancarkan dalam satu roket yang sama iaitu Soyuz-2.1v sebelum mereka berpisah menjadi dua satelit yang berasingan di angkasa lepas; bahkan gerakan tersebut menyamai gerakan sistem persenjataan, menurut Komander Angkatan Angkasa Lepas AS, Jeneral John ‘Jay’ Raymond.

Berbeza dengan China dan Rusia yang masih cuba menonjolkan kuasa lunak (soft power) mereka dengan mengirimkan pelbagai bantuan ke pelbagai negara, AS sebaliknya lebih sibuk untuk menyalahkan China dan membangunkan keupayaan ketenteraan mereka.

Terkini, AS baru sahaja melancarkan satelit Advanced Extremely High Frequency keenam (AEHF-6) yang cukup kritikal untuk perang nuklear dan angkasa lepas. Satelit AEHF-6 ini juga merupakan pelancaran pertama oleh US Space Force sejak ditubuhkan pada 2019.

Satelit

Sempurnanya sistem satelit AEHF buatan Lockheed Martin – yang lain dilancarkan sejak 2010 – bukan sahaja kritikal untuk komunikasi AS dan sekutunya sewaktu berlaku perang nuklear, tetapi ia juga mampu bertahan daripada impak serangan senjata nuklear.

Untuk rekod, pelancaran satelit AEHF-6 ini hadir dalam tiga konteks: pertama, AS keluar daripada Perjanjian Intermediate-Range Nuclear Forces (INF) pada Ogos 2019; kedua, kekalahan AS kepada Rusia dalam perlumbaan mencipta peluru berpandu nuklear hypersonic (apabila Rusia berjaya menguji Avangard pada Disember 2019); dan ketiga, apabila ‘Konfrontasi’ antara satelit AS dengan Rusia dilaporkan pada Februari 2020.

Ternyata, perlumbaan senjata kini telah memasuki peringkat yang serius di angkasa lepas di mana menurut Jeneral Raymond, setakat ini tiada struktur diplomatik yang boleh menghalang Mutually Assured Destruction (MAD) antara AS, Rusia dan China.

Pada saat krisis pandemik Covid-19, persaingan untuk menguasai ruang angkasa lepas kini memasuki fasa baharu dengan AS jelas bersedia dengan sistem satelit untuk perang nuklear – diiringi sokongan kuat empat sekutunya di penjuru dunia yang berbeza. Jika Kanada berada di benua Amerika, UK dan Belanda pula di Eropah Barat manakala Australia di Indo-Pasifik.

Begitulah lumrah persaingan antara kuasa besar sejak zaman-berzaman. Apa yang pasti, Malaysia sebagai negara kecil tidak harus mudah terpedaya dengan provokasi yang cuba dihulurkan secara halus kepada kita – sama ada dari China, AS mahupun Rusia.

* Abdul Muein Abadi ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo