Boleh hilang pencen jika sabit kesalahan PKP


KUALA LUMPUR: Pesara kerajaan yang disabit kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga membawa hukuman penjara walaupun sehari bakal berdepan kehilangan manfaat wang pencen yang diterima setiap bulan.

Peguam, Adnan Seman berkata, mengikut aspek perundangan, seseorang pesara itu masih layak menerima wang pencen selagi mana dia cuma didakwa di mahkamah atau didenda.

Bagaimanapun, katanya mengikut Seksyen 21 (1) Akta Pencen 1980, seseorang pesara itu akan hilang kelayakan pencen serta-merta sebaik hukuman mati atau penjara dijatuhkan terhadapnya.

“Mana-mana individu yang menerima pencen atau faedah lain di bawah akta ini dan dikenakan hukuman mati atau penjara dalam suatu tempoh oleh mahkamah, pencen atau faedah lain itu hendaklah terhenti serta-merta.

“Namun, pencen ini boleh diperoleh semula mengikut Seksyen 21 (2) Akta Pencen 1980 sekiranya dia mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam hal ini, pengampunan Yang di-Pertuan Agong membolehkan elaun tanggungan diberi namun jumlahnya bergantung kepada apa yang difikirkan patut untuk isteri atau anak pesara dari segi nafkah dan faedah mereka, selain untuk pesara sejurus tamat menjalani hukuman (penjara),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, pesara kerajaan seharusnya menjadi contoh teladan kepada masyarakat untuk sentiasa mematuhi PKP biarpun mereka tidak lagi berkhidmat dalam sektor awam.

“Pesara kerajaan pernah berkhidmat sebagai penjawat awam yang mana secara jelas mereka dididik dengan nilai untuk menyokong sepenuhnya peraturan kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang, mereka bukan saja perlu patuh malah sama-sama menjadi contoh serta menasihati individu sekeliling untuk mengikut sepenuhnya PKP,” katanya ketika dihubungi.

Melalui Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, mana-mana individu yang melanggar peruntukan ini boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pesalah PKP juga boleh didakwa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan penalti tidak dikenakan apabila disabit kesalahan sebaliknya dipenjara tidak lebih dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Kesalahan kedua atau berikutnya juga boleh membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/677523/boleh-hilang-pencen-jika-sabit-kesalahan-pkp
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post