NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Beli keperluan Ramadan, perayaan guna platform e-dagang baharu


KUALA LUMPUR, 14 April -- Platform e-dagang baharu diperkenal bagi memudahkan urusan jual beli barangan keperluan bagi menyambut Ramadan terutama ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

MY E.G Services Berhad (MYEG) memperkenalkan platform 'Nak Makan' yang berkonsepkan bazar Ramadan secara dalam talian bagi membantu vendor makanan serta usahawan memasarkan makanan dan produk masing-masing.

Syarikat itu dalam kenyataan menyebut bagi fasa pertama ‘Nak Makan,’ penjualan makanan secara dalam talian membabitkan kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

“Vendor dapat beroperasi dari premis mereka sendiri dan rakan penghantaran Nak Makan iaitu MrSpeedy akan membuat pengumpulan serta penghantaran makanan kepada pelanggan,” menurut kenyataan itu yang menambah vendor boleh menyertai platform berkenaan dengan mendaftar maklumat perniagaan di www.nakmakan.com.my atau menghubungi 03-7664 8100 atau 017-228 5948/5954/5958/5983.

Menurut syarikat itu, kemudahan e-sahur dan e-raya sedang dirangka bagi fasa kedua dan ketiga platform tersebut.

Dalam pada itu, Kraftangan Malaysia memperkenalkan E-Kraf Bazar menggunakan platform media sosial Facebook bagi membantu usahawan kraf yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan menyebut bahawa inisiatif itu memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan ketika PKP selain persiapan menjelang sambutan perayaan Aidilfitri, Tadau dan Gawai Dayak.

Kenyataan itu menyebut, lebih 700 usahawan dengan bilangan pengikut 2.3 juta dijangka menyertai E-Kraf Bazar yang memasarkan produk seperti tekstil, hasil hutan, seramik, logam dan aneka kraf.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo