WHO pilih Malaysa jadi pusat penyelidikan rawatan COVID-19



PUTRAJAYA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memilih Malaysia sebagai pusat penyelidikan rawatan wabak COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyelidikan tersebut akan bertumpu di Hospital Sungai Buloh dan beberapa hospital lain yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan (KKM) .

“Pada malam ini, terdapat perbincangan dengan WHO dan antara agenda yang dibincangkan adalah penyelidikan bersama oleh WHO dan KKM.

“Kami akan mengkaji ubat terbaharu dalam penyelidikan dikenali sebagai Remdesivir yang digunakan pada pesakit COVID-19.

“Penyelidikan ini akan bertumpu di Hospital Sungai Buloh dan hospital yang dikenal pasti sebagai hospital COVID-19,” katanya pada sidang media harian KKM pada Jumaat.

Kata Noor Hisham, salah satu kriteria menyebabkan Malaysia dipilih sebagai pusat penyelidikan rawatan COVID-19 oleh WHO ialah kemampuan dan keupayaan KKM untuk menjalankan kajian.

“Malaysia mempunyai platform untuk menjalankan penyelidikan klinikal dan penyelidik kita telah dilatih untuk menjalankan penyelidikan (seperti ini).

“Antara sebab Malaysia dipilih adalah kerana kita dikenal pasti sebagai satu negara yang mempunyai sistem penyelidikan yang baik.

“Itu mungkin menjadi sebab WHO memilih KKM untuk melaksanakan penyelidikan ini bersama,” katanya.

Untuk rekod, ubat Remdesivir sebelum ini digunakan bagi merawat penyakit Ebola.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham mengesahkan terdapat empat lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 26 kes.

Katanya, setakat 12 tengah hari Jumaat, terdapat 130 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 2,161 kes.

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/who-pilih-malaysia-jadi-pusat-penyelidikan-rawatan-covid-19-235590
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post