NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pakej Prihatin, Siapa Yang Mendapat Manfaat? – Syahir Sulaiman



“Unprecedented situation requires unprecedented measures”

Perdana Menteri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion bagi membantu kehidupan rakyat, menyokong kelangsungan perniagaan dan memacu aktiviti ekonomi yang terjejas dengan wabak COVID-19.

Daripada jumlah tersebut, RM128 bilion (51%) disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat dan keluarga, RM100 bilion (41%) untuk menyokong kelangsungan peniaga dan majikan, serta tambahan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara di samping pakej rangsangan RM20 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Termasuklah juga penangguhan bayaran pinjaman dan pembiayaan selama enam bulan (moratorium) secara automatik oleh institusi perbankan, yang disifatkan sangat membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat dan peniaga dalam tempoh kritikal ini.

SIAPA YANG BEROLEH MANFAAT TERBESAR?

Secara umumnya pakej PRIHATIN ini bersifat menyeluruh, dan benar-benar prihatin terhadap kesusahan dan keresahan rakyat, peniaga, majikan dan petugas barisan hadapan yang terjejas dengan wabak COVID-19.

Ini berdasarkan komitmen YAB Perdana Menteri yang berpegang dengan prinsip ‘tiada golongan yang akan tercicir’ (no one will be left behind), malah prinsip agihan juga dilaksanakan mengikut kaedah ‘semakin rendah pendapatan, semakin besar bantuan yang diterima (the lower your income, the higher you will get).

Melalui pakej PRIHATIN, Perdana Menteri mengumumkan pelbagai bentuk bantuan tunai secara ‘one-off’ sebagai pendapatan tambahan kepada segmen B40 dan M40 (buat pertama kali), melibatkan keluarga, individu bujang, penjawat awam, pesara, OKU, pelajar IPT serta pemandu teksi dan ‘e-hailing, di samping penangguhan dan pengecualian bayaran yang dapat menjimatkan perbelanjaan rakyat.

Ini dapat dilihat daripada pengiraan manfaat yang bakal diterima oleh keluarga ‘Makcik Kiah’, dengan anggaran penerimaan bantuan tunai secara ‘one-off’ berjumlah RM4,200 dan penjimatan bayaran berjumlah RM4,464, menjadikan keseluruhan manfaat berjumlah RM8,664 yang pastinya membuatkan ‘Makcik Kiah’ tersenyum dan boleh menarik nafas lega.

APAKAH SOKONGAN KERAJAAN TERHADAP PENIAGA DAN MAJIKAN?

Terlalu ramai peniaga dan usahawan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (SME) kini berdepan dengan aliran tunai yang terhad dan tanggungan kos yang tinggi, sehingga menjejaskan kelangsungan (survival) perniagaan mereka akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Justeru pengumuman Perdana Menteri untuk menyokong golongan peniaga dan majikan dalam bentuk diharapkan dapat memberikan kelegaan kepada segmen terpenting ekonomi negara ini untuk terus bertahan, antaranya:

- subsidi upah RM600 sebulan yang memberi manfaat kepada 3.3 juta pekerja berpendapatan bawah RM4,000 (RM5.9 bilion)

- tabung bantuan kemudahan khas (RM3 bilion), akses pembiayaan (RM6.8 bilion) dan skim bantuan mikro (RM700 juta) kepada SME di semua sektor

- jaminan 70%-80% pembiayaan perniagaan kepada sektor SME (RM5 bilion) dan sektor korporat (RM50 bilion) oleh Danajamin.

- bantuan aliran tunai kepada SME melibatkan penangguhan bayaran cukai pendapatan, penjadualan caruman KWSP majikan dan penangguhan bayaran wajib yang lain.

APAKAH PENANTIAN YANG TIDAK DIPENUHI?

Banyak pihak mengharapkan kerajaan dapat memberikan pengecualian cukai pendapatan dan potongan cukai yang lebih meluas, seperti yang diumumkan di Singapura, Indonesia dan beberapa negara yang lain.

Namun kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan dilihat belum mampu untuk menanggung pelepasan cukai yang tinggi dalam tempoh terdekat ini.

Malah kerajaan turut berdepan dengan kemerosotan pendapatan apabila harga minyak dunia jatuh ke paras bawah USD30 setong, berbanding unjuran dalam Belanjawan 2020 pada harga USD62 setong, yang dijangka menyumbangkan RM50.5 bilion atau 20.7 peratus daripada keseluruhan pendapatan.

APAKAH CABARAN PAKEJ RANGSANGAN INI?

Secara umumnya, pakej rangsangan ekonomi adalah tindak balas biasa apabila sesebuah negara berdepan dengan kelembapan ekonomi kerana pihak kerajaan berperanan untuk merancakkan aktiviti ekonomi (pump-priming) ketika pihak swasta dan pengguna cenderung untuk tidak berbelanja.

Faktor yang menjadi penentu keberkesanan sesuatu pakej rangsangan ekonomi adalah ‘kesan gandaan’ yang terhasil daripada setiap perbelanjaan kerajaan terhadap penjanaan pendapatan dalam ekonomi, yang turut bergantung kepada sentimen pengguna, keyakinan pelabur, dan harga komoditi, serta kecekapan di pihak kerajaan.

Justeru cabaran terbesar pakej rangsangan RM250 bilion ini adalah dalam aspek pelaksanaan yang efisyen dan pengagihan yang saksama.

Ini ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri yang telah mengarahkan Unit LAKSANA untuk memastikan pakej PRIHATIN ini dapat disalurkan ke segenap lapisan masyarakat dengan segera, serta dibantu oleh Kerajaan Negeri, institusi Baitulmal, sektor korporat dan badan NGO prihatin.

Dengan suntikan langsung fiskal kerajaan berjumlah RM25 bilion dan anggaran kesan gandaan (multiplier effect) yang sederhana, pakej rangsangan PRIHATIN berjumlah RM250 bilion ini dijangka dapat menampung penjanaan aktiviti ekonomi negara secara meluas, di samping melindungi kebajikan rakyat yang terjejas dengan wabak COVID-19.

Keutamaan perlu diberikan untuk mematahkan rantaian jangkitan wabak COVID19 dengan segera, supaya negara dapat memasuki fasa pemulihan kesihatan (health recovery) yang menjadi penentu utama kepada pemulihan ekonomi negara dan rakyat (economic recovery).

Segalanya bergantung kepada kerjasama dan kepatuhan kita dalam tempoh kawalan pergerakan sehingga 14 April 2020 ini.

- Syahir Sulaiman, Day#10 MCO-extended

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo