NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peralihan Kerajaan: Pandangan Tun Hamid Mohamad



Sebaik sahaja kenyataan Istana Negara yang dengan rasminya mengatakan bahawa YDPA telah berkenan melantik TS Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan diterbitkan, pemimpin-pemimpin PH, diketuai Tun Dr Mahathir bersama-sama DS Anwar, telah menolak keputusan yang dibuat oleh YDPA itu. Itu tidak menghairankan. Mereka akan merayu dengan lemah longlai untuk mendapat pengampunan. Mereka terima pengampunan walau pun cara dilakukannya menyalahi prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Tetapi, apabila YDPA membuat satu keputusan yang tidak menyebelahi mereka, YDPA pun mereka tentang. Ini menunjukkan sejauh mana mereka sanggup lakukan untuk mencapai matlamat mereka. Mereka tidak mempunyai had dan batasan.


Perkara 40 (2), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
“Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;”
Perlembagaan tidak menetapkan bagaimana baginda hendak melaksanakan budibicara itu. Tetapi, adalah patut bahawa baginda melantik seorang ahli Parlimen yang mengikut hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen. Jika tidak, undi tidak percaya mungkin akan dibuat dan, jika berjaya, PM itu hendaklah meletak jawatan dan masalah berulang semula.

Dalam kata-kata lain, YDPA tidak dikehendaki menemuduga setiap ahli Parlimen, apatah lagi mengambil kira senarai yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir, untuk membuat keputusan itu.

Sekarang, keputusan telah dibuat, PM telah dilantik, tak usahlah mempedulikan apa kata Tun Dr Mahathir, mahupun senarainya. Jika beliau dan PH tidak berpuashati, mereka bolehlah mengemukakan undi tidak percaya di Parlimen. Itu caranya, bukan mencabar budibicara YDPA.

Bagaimana kedudukan Tun Dr Mahathir dan ahli-ahli Parlimen dalam senarai Tun Dr Mahathir yang tidak menyokong TS Muhyiddin, dalam Bersatu? Saya ulangi apa yang saya katakan dalam rencana saya “Melayu Tertipu Lagi”, jika mereka tidak mengikut pendirian parti, singkirkan mereka.

Pagi ini, saya teruja melihat pemimpin-pemimpin UMNO, PAS dan Bersatu bersama-sama ke Istana Negara untuk menubuh kerajaan baru. Diharapkan ia berkekalan. GPS dan Warisan eloklah berfikir semula dan tidak lagi mengikut Tun Dr Mahathir ke mana sahaja yang dibawanya. Sudah tiba masanya beliau ditinggalkan atau disingkirkan.

Beliau telah terlalu banyak membuat masalah sepanjang tempoh beliau menjadi PM: menyebabkan krisis Perlembagaan dengan Raja-Raja sebanyak dua kali; menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas; menyebabkan UMNO dibatalkan; bergaduh dengan Tun Musa Hitam; bergaduh dengan DS Anwar; bergaduh dengan Tun Abdullah Badawi; bergaduh dengan DS Najib; menyerahkan kuasa politik orang Melayu kepada DAP; menyebabkan krisis Perlembagaan lagi sekarang; mencabar YDPA; masuk keluar UMNO entah berapa kali. Nampaknya selagi beliau ada dalam arena politik, beliau tidak berhenti-henti menimbulkan masalah. Cukuplah.

Kita mulakan hari baru, tanpa Tun Dr. Mahathir, DS Anwar dan Lim Kit Siang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo