NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

COVID-19: 117 kes baharu, jumlah kumulatif 790 - Adham Baba



KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Sebanyak 117 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 790 kes, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.



Beliau berkata 80 daripada 117 kes baharu itu berkaitan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.

"Sehingga kini, sebanyak 15 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, daripada 790 kes itu, 123 adalah pesakit dalam siasatan (PUI); 135 kalangan kontak rapat; 513 kluster perhimpunan tabligh; 17 kes pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) dan dua dari Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).

Dr Adham berkata hari ini terdapat 11 kes positif COVID-19 yang pulih telah dibenarkan keluar dari hospital menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 60.


Sementara itu, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari ini, Dr Adham berkata tiada pelawat dibenarkan masuk ke wad hospital kecuali bagi kes kecemasan dan sangat memerlukan sepanjang tempoh berkenaan.

Jelasnya, dalam tempoh itu juga hanya seorang peneman sahaja dibenarkan semasa temu janji klinik kecuali untuk pesakit kanak-kanak atau pesakit yang memerlukan bantuan atau kes kecemasan.

Susulan perintah itu juga, Dr Adham berkata satu warta bertarikh 17 Mac dikeluarkan yang mewartakan semua negeri dan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Sehubungan itu, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah digubal dan diwartakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata individu yang melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan tersebut dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Peraturan-peraturan ini boleh diperoleh dari laman sesawang Kementerian Kesihatan dan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan menerusi talian 03-8881 0200; 03-8881 0600, 03-88810700 atau e-mel: cprc@moh.gov.my.

-- BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo