NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

OIC tolak pelan damai Trump




JEDDAH, 10 Jamadilakhir 1441H, Selasa – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak pelan damai Timur Tengah oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang kononnya mahu menyelesaikan konflik Israel-Palestin yang telah berlarutan berabad-abad lamanya.

OIC bersidang di Jeddah semalam untuk membincangkan rancangan Trump yang diumumkan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih pada Selasa lalu.

Pertubuhan dengan 57 anggota itu berkata, ia menggesa semua negara anggota supaya tidak terlibat dengan rancangan berkenaan atau bekerjasama dengan pentadbiran AS untuk melaksanakannya dalam apa jua bentuk.

Perjanjian itu akan menjadi antara perkara perdebatan lain, seperti Baitulmaqdis diiktiraf sebagai ibu kota tidak berbelah bahagi Israel dan membenarkan rejim untuk menyusun penempatan di Tebing Barat yang diduduki serta Lembah Jordan.

Semua kumpulan Palestin menolak dengan tegas rancangan itu, sementara kumpulan Israel dari aspek politik yang berbeza dengan penuh semangat menyambutnya kerana ia 'menawarkan' lebih banyak daripada yang mereka harapkan.

Pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas pada hari Sabtu memutuskan hubungan dengan AS dan Israel, setelah menyatakan beliau tidak mahu namanya diingati dalam sejarah kerana mengkhianati Palestin.

Riyadh bagaimanapun mengalu-alukan inisiatif berkenaan, dengan mengatakan "kerajaan menghargai usaha yang dibuat oleh pentadbiran presiden Trump untuk membangunkan rancangan perdamaian Palestin-Israel yang komprehensif".

Media pemerintah Arab Saudi pada hari Ahad mendesak, rakyat Palestin untuk tidak ketinggalan merebut peluang ini dan mendekati kesepakatan dengan pola pikir yang positif.

Sementara itu, Arab Saudi melarang delegasi Iran dari menyertai mesyuarat OIC di Jeddah, kata Jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi.

Iran, katanya, telah memfailkan aduan pada OIC dan mengutuk Arab Saudi kerana menyalahgunakan kedudukannya sebagai tuan rumah bagi ibu pejabat organisasi itu.

Pegawai Iran mengutuk pelan Trump selepas ia diumumkan secara rasmi pada minggu lalu.

Kepimpinan Palestin juga menolak rancangan itu, dengan mengatakan ia sangat memihak kepada Israel dan akan menafikan mereka sebagai negara yang berdaya maju. – Agensi

Sumber: https://www.ismaweb.net/2020/02/04/oic-tolak-pelan-damai-trump/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo