DAP tak ada kuasa laksana pilihan raya PBT




Oleh Fazleen Safina

BANGI, 8 Jamadilakhir 1441H, Isnin – Parti paling dominan di Putrajaya, DAP tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), walaupun itu antara 'impian' parti berkenaan, jelas penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff.

Pilihan raya PBT tidak pernah dilaksanakan sejak kerajaan Persekutuan menggantung pelaksanaannya melalui undang-undang darurat pada 1965.

Namun, usaha untuk mengadakan pilihan raya PBT telah digerakkan oleh parti tamak halona, DAP sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, DAP pernah mengulangi tuntutan untuk mengembalikan pilihan raya PBT dengan menjadikannya antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2019.

Mengulas perkara itu, Dr Syed Agil percaya pelaksanaan pilihan raya berkenaan akan menjadi punca sesuatu kaum terlalu bergantung harap kepada kaum lain untuk menyelesaikan sesuatu perkara, apabila mereka dipilih untuk menguasai bandar.

"Bangsa kita (Melayu) tidak kuat dari segi bilangan pengundi. Ada majlis-majlis tempatan yang memang dikuasai oleh kaum tertentu seperti di Subang Jaya dan Petaling Jaya.

"Jadi, ini akan merugikan masyrakat majmuk di negara kita. Ia secara tidak langsung akan menimbulkan ketegangan kaum, berat sebelah dan ketidakstabilan pada pelaksanaan polisi-polisi," katanya ketika dihubungi Ismaweb.

Selain itu, beliau berkata, pilihan raya PBT sebenarnya memerlukan konsensus daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kerajaan tidak bersedia untuk mengadakan pilihan raya PBT ini disebabkan beberapa faktor. Yang jelas ianya tidak sesuai dilaksanakan di negara kita buat masa ini," katanya.

Pada masa sama, Dr Syed Agil menyifatkan, pelaksanaan pilihan raya PBT adalah suatu pembaziran wang selain menganggap ianya tidak begitu penting jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum.

"Kita guna duit kerajaan. Kenapa perlu bazirkan wang laksana pilihan raya? Kalau boleh kita lagi nak kurangkan proses dan jumlah pilihan raya," katanya.

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post