NOTIS:
Krisis Syria Memasuki Fasa Baru Yang Lebih Mencabar
Krisis Syria yang telah berlarutan hampir 10 tahun masih lagi belum menunjukkan jalan penyelesaian. Puluhan ribu nyawa telah terkorban dan jutaan lagi menjadi pelarian di serata pelusuk dunia. Dua tahun lalu terdapat tanda penyelesaian semakin hampir apabila beberapa perjanjian termeterai antara Rusia yang mewakili Syria dan Turki yang mewakili kumpulan pembangkang seperti perjanjian di Sochi, Rusia pada 17 September 2017. Keadaan terkini di Idlib, lebih buruk dan getir dari sebelumnya.
Namun krisis terkini yang melanda wilayah Idlib seolah-olah akan menjerumuskan pertembungan secara langsung antara Turki dan Syria yang juga akan mengheret sama Rusia. Kemaraan tentera Basyar Al Assad yang sedang mengepung Idlib dalam cubaan untuk menguasainya telah menyebabkan hampir 900,000 penduduk tempatan menjadi pelarian sejak Disember tahun lalu. Daripada jumlah tersebut, hampir 500,000 daripadanya adalah kanak – kanak.
Majoriti pelarian daripada Idlib telah menyeberangi sempadan Syria – Turki untuk mendapatkan perlindungan di kem – kem pelarian yang berada di Turki. Peperangan yang melanda disaat ini membuatkan keadaan menjadi sukar dengan cuaca sejuk yang sedang melanda. Perang yang sebelum ini berlaku di luar Idlib kini sudah mula menghampiri kawasan bandar dan berpenduduk padat menyebabkan lebih ramai yang lari meninggalkan kediaman mereka.
Apa di sebalik krisis Syria ?
Syria menjadi medan pertembungan kuasa-kuasa besar dunia dan rantau Asia Barat yang mempunyai kepentingan masing-masing. Amerika Syarikat mempunyai kepentingan untuk menjaga keselamatan negara haram Israel dan menguasai sumber minyak dan gas yang kaya di Syria. Iran pula menyokong regim Basyar Al-Asad dengan matlamat untuk mempertahan dan mengukuhkan kedudukannya kerana Syria adalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang menjadi sekutunya dan jambatan antaranya dengan kumpulan Hizbullah di Lubnan yang menentang Israel.
Rusia juga menyokong regim Basyar Al Assad, matlamatnya untuk menandingi kuasa hegemoni Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal Asia Barat. Setakat ini strategi Russia begitu berjaya sekali apabila diberikan keizinan membuka pengkalan tentera lautnya yang dibina di Tortuz, Syria ( satu-satunya pengkalan tentera laut Russia yang berada di laut lepas ). Manakala Turki pula matlamatnya ialah untuk menjaga sempadannya daripada pemberontak Kurdis PKK dan YPG serta menyelesaikan isu jutaan pelarian Syria yang berada di Turki.
Pendirian Turki kerap berubah-ubah, peringkat awalnya Turki menyokong perjuangan untuk menjatuhkan regim Basyar Al Assad yang selari dengan kehendak Amerika Syarikat dan Israel, namun lama kelamaan Turki menyedari permainan jahat Amerika Syarikat dan Israel yang menikamnya dari belakang dengan menyokong Kurdis YPG. Sejurus selepas itu, Turki mengambil sikap untuk berunding dengan Rusia yang mewakili Syria demi untuk menjaga kepentingannya.
Perjanjian Antara Turki dan Russia
Pada 17 September 2108 di Sochi, Rusia, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Turki Recep Tayyip Edrogan telah mengadakan rundingan dan telah mencapai persetujuan untuk mengadakan gencatan senjata serta mewujudkan zon pemampan di wilayah Idlib sepanjang 15 – 25km yang berada di kawasan ISIS yang telah ditumpaskan berkuatkuasa 15 Oktober 2018. Ia adalah bertujuan untuk mengelakkan pertembungan langsung yang berterusan di antara tentera Syria dan Turki termasuk juga Rusia.
Secara langsung juga zon pemampan tersebut adalah untuk mewujudkan garis sempadan antara wilayah yang dikuasai oleh tentera Syria dan Basyar Al Assad dengan wilayah yang dikuasai oleh tentera yang menentang Basyar Al Assad yang disokong Turki. Namun terdapat juga syarat syarat lain dalam perjanjian tersebut seperti :
*Tidak dibenarkan sebarang serangan ataupun pertembungan berlaku di kawasan tersebut.
* Tentera Kerajaan Syria tidak dibenarkan menyerang kedudukan tentera penentang yang menguasai Idlib.
*Kumpulan Al Qaeda dan Hai’ah Tahrir As Syam hendaklah meninggalkan kawasan zon pemampan.
*Kumpulan seperti National Front of Liberation dibenarkan untuk berada di kawasan zon pemampan tetapi hendaklah melupuskan kesemua senjata mereka termasuk mortar, pelancar roket dan kereta kebal.
*Syrian Salvation Government yang diterajui Hai’ah Tahrir As Syam hendaklah dibubarkan.
*Tentera penentang Basyar Al Assad hendaklah membuka laluan sepenuhnya ke lebuhraya M4 dan M5 untuk orang awam.
*Turki hendaklah menggunakan pos kawalan yang berada di bawah kawalannya di Idlib untuk mengawal keselamatan di kawasannya manakala Rusia dan Iran akan menggunakan pos kawalan yang berada di bawah kawalan mereka untuk mengawal keselamatan di kawasan milik mereka.
*Turki dan Rusia akan melakukan pengawasan bersama di sepanjang kawasan zon pemampan.
*Turki dan Rusia hendaklah bersama-sama bertindak untuk menumpaskan segala bentuk keganasan dalam sebarang keadaan mahupun manifestasi.
Kumpulan penentang Basyar Al Assad seperti Turkistan Islamic Party, Ansar Al Tawhid, Guardian Of Religion Organization, Ansar Al Din dan Ansar Al Islam menentang perjanjian tersebut. Hai’ah Tahrir As Syam pula mengeluarkan kenyataan yang berbelah bahagi tentang perjanjian tersebut. Bagaimanapun Kerajaan Syria pimpinan Basyar Al Assad menyokong penuh perjanjian tersebut.
Perjanjian tersebut tidak kekal lama kerana apabila baru saja ianya dipersetujui, pada 19 September tentera Basyar Al Assad telah menyerang kedudukan Hai’ah Tahrir As Syam dan sekutunya di Idlib. Selepas itu tentera Basyar Al Assad menyerang pula kedudukan tentera penentang di pergunungan Turkmen di wilayah Latakia yang dikatakan sebahagian daripada kawasan zon pemampan.
Tentera Basyar Al Assad juga menyerang kawasan Idlib yang dikuasai tentera penentang termasuk Qoqfeen yang berada di kawasan pendalaman bahagian barat Idlib. Wilayah Hama juga turut diserang tentera Basyar Al Assad termasuk bandar Al Sermaniyyeh. Tentera penentang Basyar Al Assad termasuk kumpulan Nour Al Din Al Zenki menyerang balas dengan menyerang tentera Basyar Al Assad di bahagian barat Aleppo termasuk Makambo dan daerah Al Andalus.
Begitulah keadaannya sehingga ke hari ini di mana natijahnya perjanjian tersebut sebenarnya tidak sempat malah tidak langsung dilaksanakan disebabkan ketegangan akibat peperangan tersebut di mana sebenarnya tiada satu pihak pun percaya di antara satu sama lain. Hakikatnya yang paling rugi dan terseksa adalah rakyat terutamanya umat Islam di wilayah – wilayah tersebut. Mereka kehilangan saudara mara, kediaman, perniagaan, harta benda malah kehilangan jati diri mereka lalu hidup sebagai pelarian.
Krisis Terkini di Idlib
Idlib adalah sebuah wilayah yang terletak di barat daya Syria yang bersempadan dengan Laut Mediterranean dan Turki. Sebelum berlakunya perang, majoriti penduduk Idlib adalah umat Islam yang bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan terdapat sedikit minoriti Kristian. Pada 2010 menurut catatan rasmi, penduduk Idlib berjumlah 165,000 orang namun kini Idlib adalah seperti bandar tinggalan perang yang penduduknya hilang umpama ditelan bumi.
Idlib adalah wilayah terakhir yang berada di tangan pembangkang terutamanya kumpulan-kumpulan yang menjadi proksi Turki. Selepas Basyar Al Assad memenangi pilihanraya presiden buat kali ketiga pada 16 Julai 2014, beliau telah mengerahkan tenteranya memerangi penentang – penentangnya terutama di daerah atau kawasan yang dikuasai mereka. Sejak daripada itu hingga saat ini, Syria telah menjadi medan perang disegenap ceruk dan tempat.
Setelah tentera Basyar Al Assad telah banyak menawan kembali bandar dan wilayah yang dikuasai oleh penentangnya, Idlib diasak dari segenap sudut. Jatuhnya Idlib bermakna akan hilanglah penentangan terhadap Basyar Al Assad dan berkemungkinan besar Rusia akan menjadi kuasa besar baru di Asia Barat.
Amerika Syarikat Menangguk Di Air Yang Keruh.
Apabila hubungan antara Turki dan Rusia kelihatan tegang, Donald Trump mengeluarkan kenyataan menyokong Turki sehingga beliau menyifatkan Erdogan sebagai seorang yang kuat. Sejurus itu beliau mengarahkan delegasi Amerika Syarikat yang diketuai oleh James Jeffrey melawat Turki untuk memberikan sokongan moral dan menyampaikan ucapan takziah atas kematian 13 orang tentera Turki yang diserang oleh tentera Syria baru – baru ini.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo turut senada dengan Donald Trump apabila dalam satu ciapan tweeter beliau turut memberikan sokongan kepada Turki dengan menyatakan bahawa Amerika Syarikat akan bersama dengan Turki yang juga sebahagian daripada Nato. Dalam ciapan yang sama, Mike Pompeo juga turut mengutuk tindakan Syria dan Rusia sambil menggesa kedua – dua negara tersebut menghentikan tindakan mahupun serangan mereka.
Yenisafak merupakan sebuah portal berita yang dekat dengan Erdogan dan AKP, membidas pendirian Amerika Syarikat sambil menyifatkan ianya satu lakonan semata-mata dengan tujuannya mahu mengapi - apikan Turki supaya bertembung dengan Rusia yang akhirnya akan menguntungkan Amerika Syarikat. Mustafa Kutlu, seorang koluminis dengan portal berita tersebut menulis dalam artikelnya dengan menyamakan pendirian Amerika Syarikat ketika tentera Turki pro Gerakan Golan menembak jatuh pesawat pejuang Rusia sehingga hampir-hampir mencetuskan peperangan antara Turki dan Rusia.
Namun ramai yang percaya, Turki sudah masak dan belajar dari pengalaman apabila terlalu berharap pada Amerika Syarikat. Tahun 2015, apabila Turki menembak jatuh pesawat pengebom Rusia di sempadan Syria – Turki di mana ketika itu Turki merupakan sekutu kuat Amerika Syarikat, Turki ditinggalkan bersendirian oleh Amerika Syarikat dan sekutu baratnya untuk menghadapi kemarahan dan ancaman Vladimir Putin terhadap Turki. Akibat daripada peristiwa tersebut dan kemarahan Vladimir Putin, Recep Tayyip Edrogan dengan segera terpaksa terbang ke Moscow untuk bertemu secara peribadi dengan Vladimir Putin meminta maaf.
Turki juga tentunya masih segar dalam ingatan mereka apabila Amerika Syarikat belot dan menikam mereka dari belakang dengan memberikan sokongan dan senjata kepada puak Kurdis terutamanya PKK dan YPG untuk menentang mereka. Melihat keadaan sekarang, Turki tidak sesekali akan mengharap kepada Amerika Syarikat tetapi sebaliknya akan menggunakan diplomasi dengan Rusia dan dalam masa yang sama cuba menyekat kemaraan tentera Basyar Al Assad untuk menawan Idlib.
Dunia Islam perlu sedar, hanya ukhuwah dan perpaduan sahaja dapat mengembalikan kekuatan Dunia Islam dan maruah umatnya. Di saat Dunia Islam lemah dan bermusuhan di antara satu sama lain, musuh – musuh Islam akan mengambil peluang dan kesempatan untuk menjatuhkan serta mewujudkan permusuhan dengan tujuan untuk memecahbelahkan Dunia Islam. Semakin banyak negara di kalangan Dunia Islam berseteru dan berpecah belah, lebih mudah kerja musuh Islam untuk meranapkan Dunia Islam.
Kelemahan Dunia Islam dan umatnya yang paling ketara saat ini ialah iman dan taqwa. Apabila lemahnya iman dan taqwa lalu meninggalkan ajaran Islam yang sebenar, akan akan hilanglah ukhuwah dan persaudaraan yang memainkan peranan yang paling penting dalam menguatkan perpaduan sesama ummah dan Dunia Islam. Kerana musuh Islam sedar dan belajar dari pengalaman lalu, umat dan Dunia Islam akan kuat apabila mereka bersatu padu dan saling kasih mengasihi. Maka untuk meleraikan kekuatan Dunia Islam dan umatnya, perpaduan dan kesatuan tersebut mestilah dihancurkan.
Inilah apa yang terjadi saat ini, perpecahan dan perseteruan sesama ummah dan Dunia Islam semakin meranapkan Dunia Islam. Bayangkan jika seluruh Dunia Islam bersatu padu, dengan kekuatan ummah yang mencecah lebih 1.9 billion orang, gabungan kekayaan hasil bumi seperti minyak dan gas serta sumber tenaga manusia yang ramai serta bijak pandai, tidak mustahil Islam akan kembali gemilang dan menerajui dunia. Mungkin sekarang masih ada lagi yang tertipu dengan musuh Islam dan leka dengan harta duniawi, satu masa nanti insyaallah Dunia Islam akan bangkit dan bersatu kembali.
Doakan Islam Kembali Gemilang dan Menjadi Teraju Utama Dunia.
YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment