PRK Kimanis : Tarikh Mengundi Ditetapkan Pada 18 Januari


Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun (tengah) mengadakan sidang media di Menara SPR, Putrajaya hari ini. - Foto Astro AWANI/Hasimi Muhamad

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P176 Kimanis diadakan pada 18 Januari depan.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata penamaan calon ditetapkan pada 4 Januari 2020 manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari 2020.

“Tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 17 Januari 2020.

"Tarikh buka dan tutup permohonan undi pos pengundi dalam dan luar negara adalah pada 16 Disember dan ditutup pada 2 Januari 2020.

"Anggaran kos bagi menjalankan PRK ini adalah berjumlah RM3.6 juta," katanya dalam sidang media di Menara SPR, di sini, hari ini.

Pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi yang ditetapkan adalah di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.

Seramai 653 petugas dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini manakala sebanyak 20 buah pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 69 saluran akan digunakan.

Jelas Azhar lagi, daftar pemilih pilihan raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah sehingga suku tahun ketiga tahun 2019 yang dikemaskini sehingga 9 Disember 2019.

“Ia mengandungi 29,664 orang pengundi yang terdiri daripada 29,654 orang biasa, sembilan pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir,” katanya.

Pilihan raya tersebut diadakan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sebagai tidak sah dan terbatal.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya tersebut, sekaligus menjadikan ia PRK ke-10 selepas PRU14.

Anifah memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperolehi 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi.

Kerusi P176 Parlimen Kimanis merangkumi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Membakut dan Bongawan.

Borang daftar pemilih boleh dibeli mulai 26 Disember.
Share What You Think About This Post!
Share What You Think About This Post!

0/Post a Comment/Comments

Previous Post Next Post