NOTIS:
Pembalakan: Benarkah Kelantan Pemalas Dan Pengotor?
oleh Nazman Che Iberahim
HARI ini tular satu video oleh seorang wanita dalam laman ML Studios yang menghentam Kerajaan Kelantan atas isu pembalakan. Banyak hujah dan isi bicaranya, yang dihambur adalah ulangan dan modal lapuk yang pernah digunakan oleh penyokong PH sejak 2016 sehingga PRU-14 tahun lepas.
Entah kenapa ia diulang kembali kini, apa pun, asasnya, ia modal basi.
Berikut adalah beberapa kutipan premis hujahan beliau yang sempat dicatat, dan juga jawapan yang kita mahu rakyat faham.
1. “Kelantan negeri terbesar buka hutan simpan untuk pembalakan”
Berikut adalah pengeluaran kayu dalam ukuran meter padu bagi beberapa tahun kebelakangan:
Tahun Kelantan Pahang
2011 1,128,921 1,374,041
2012 1,111,040 1,661,572
2013 1,050,474 1,604,992
2014 954,302 1,778,864
2015 887,666 2,037,322
Bagi tahun 2015 sahaja, pengeluaran balak di Pahang adalah sebanyak dua juta tiga puluh tujuh ribu tiga ratus dua puluh dua meter padu dan ia adalah lebih dua kali ganda berbanding Negeri Kelantan.
Kenapa banding dengan Pahang atau negeri-negeri lain di Malaysia? Ya, sudah pasti perbandingan perlu dibuat antara negeri-negeri dalam negara ini dan bukannya dengan Kalimantan Timur ataupun di Brazil.
2. “Kelantan adalah kerajaan yang malas kerana hanya harapkan hasil pembalakan”
Ini antara hujah yang paling dangkal dibuat olehnya. Kelantan dituduh ‘kerajaan pemalas’?
Bagaimana mungkin negeri kami boleh dikatakan malas setelah Belanjawan Negeri ini mencatatkan lebihan ataupun ‘Surplus’ untuk beberapa tahun berturutan?
Bagi kewangan tahun 2018, lebihan sebanyak RM40.4 juta dicatatkan berbanding RM38.2 juta bagi tahun 2017. Dan InsyaAllah 2019 sekali lagi Bajet lebihan akan direkodkan.
Di saat banyak negeri di negara ini termasuklah pengurusan kewangan negara sendiri catatkan defisit, tapi kami di Kelantan Surplus. Masih mahu tuduh Kelantan malas? Shame on you!
3. “Kelantan kotor dan tak dapat tarik pelancong?”
Konotasi negatif ini sudah berzaman digunakan oleh mereka yang bencikan Kelantan. Rupanya sehingga kini masih ada orang yang tuduh Kelantan kotor dan tak bersih.
Tahukah saudari akan Kempen Kelantanku Bersih? Dan tahukah juga bahawa ia dipuji oleh Tuanku Sultan?
Laporan Sinar Harian dipetik;
“Selain itu, baginda turut menyentuh aspek kebersihan negeri ini yang memperlihatkan perubahan seiring dengan Kelantan sebagai negeri yang menerapkan nilai Islam sebagai teras pentadbiran.
“Alhamdulillah, nampaknya program ‘Kelantan Bersih’ yang telah dilaksanakan dilihat berjaya membawa perubahan dari sudut pembudayaan kebersihan dalam kalangan rakyat beta.
“Di samping itu juga, beta diberi maklum program kebersihan dan keceriaan ini akan terus diperkasakan dengan penambahan peruntukan kepada RM10 juta pada 2020 berbanding RM6 juta tahun ini.”
4. “Pembalakan Kelantan tak ikut SOP?”
Berulang kali dalam video berkenaan disebut pembalakan Kelantan tidak mengikut SOP. Tidakkah beliau sedar bahawa semua Jabatan Perhutanan negeri-negeri bernaung dan menjalankan operasi serta tugasan di bawah Majlis Perhutanan Negara dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia?
Adakah saudari memahami bahawa Jabatan Hutan di negeri-negeri yang ditadbir oleh Kerajaan PH memiliki SOP sedangkan Jabatan Hutan di negeri yang ditadbir oleh PAS tiada SOP dan menguruskan hutan asli di sini secara koboi? Tiada pejabat, tiada staf, tiada kaedah tata kelola, tiada urus tadbir, tiada audit dan tanpa SOP?
5. “Kelantan tidak ada cara lain untuk dapatkan hasil negeri?”
Bermula tahun 2018, dalam carta anggaran hasil Kerajaan Negeri Kelantan, dicatatkan hasil tanah sebagai hasil utama negeri ini dengan 34.43 peratus (RM239,964,590.00) dan hasil hutan hanyalah sekitar 20.12 peratus (RM140,200,000.00) sahaja. Manakala lain-lain terimaan adalah 17.34 peratus dan terimaan daripada agensi kerajaan sebanyak 16.29 peratus.
Bagi tahun 2019 pula, carta anggaran hasil menunjukkan hasil tanah negeri ini adalah sebanyak 41.29 peratus (RM307,079,636.00) dan hasil hutan hanyalah 22.95 peratus sahaja.
Lebih positifnya apabila pada tahun 2020, carta anggaran hasil negeri meletakkan hasil tanah sebanyak 41.32 peratus, hasil terimaan lain-lain 19.41 peratus dan hasil hutan berada semakin ke bawah dengan hanya 16.42 peratus sahaja!
Ini tanda komitmen Kerajaan Negeri dalam mengekalkan pengurusan hutan simpan pengeluaran dengan cara yang paling berhemah dan lestari.
Nah saudari, masih mahu kata Kelantan tidak pandai urus pendapatan negeri dan semata-mata tunggu ‘duit balak’ sahaja untuk mentadbir? PAS Kelantan sudah 30 tahun memerintah negeri ini, bukannya 30 hari atau 30 bulan.
6. “Banjir besar setiap tahun dengan air warna macam teh tarik, tidak jernih, ini semua sebab tak ada SOP”
Ini satu lagi tohmahan saudari yang cuba mengaitkan warna air banjir dengan ‘tiada SOP pembalakan’. Tuduhan ini sepatutnya mudah dijawab dengan saudari menonton berita televisyen beberapa hari kebelakangan ini sahaja. Berita banjir di Johor, Pahang dan negeri-negeri lain. Cuba cari banjir di mana yang airnya jernih.
7. “Balak Kelantan tak ada nilai, kayu kayan Kelantan tidak dapat kelulusan untuk dipasarkan”
Cara menilai sebenarnya perlu kepada perbandingan isi padu kayu yang dikeluarkan dengan nilai hasil kutipan. Di situ barulah dapat dinilai hasil negeri mana yang paling tinggi RM atau meter padu-nya. Kedah sejak zaman Almarhum Ustaz Azizan mentadbir adalah negeri yang paling tinggi nilai kayunya bagi RM atau meter padu kerana pada zaman Almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak memerintah, premium kayu dinaikkan. Itu satu kejayaan dan sejarah manis buat rakyat Kedah di bawah pemerintahan Almarhum dahulu.
Di Kelantan juga, pada era YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, kerajaan telah menaikkan cukai dan premium serta telah meningkatkan kawalan ketirisan dan ini menatijahkan nilai RM atau meter padu yang lebih tinggi berbanding dengan tahun tahun yang sebelumnya.
8. “Dalam hutan Kelantan, tak boleh tanam getah, sawit dan Musang King. Ini semua tak ada dalam akta. Musang King tak ada dalam akta”
Hujah akhir saudari amat pelik apabila mengatakan durian bukanlah spesis balak. Perlu dimaklumi bahawa di bawah Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan, durian diklasifikasikan sebagai tumbuhan hutan dan digalakkan untuk dijadikan sebagai spesis pokok bagi tujuan penanaman semula bagi kawasan hutan yang terjejas.
Kesimpulannya, dalam jawapan ringkas dan ‘mudah-mudah’ untuk saudari ini adalah Negeri Kelantan yang mempunyai keluasan 14.931 KM2 atau 1,510,000 Ha di mana 812,196 Ha (53.82 peratus) adalah kawasan berhutan yang terdiri daripada Hutan Simpan Kekal (HSK), Hutan Taman Hidupan Liar, Taman Negeri dan Hutan Tanah Kerajaan.
HSK yang telah diwartakan sehingga tahun 2015 adalah seluas 623,849 Ha, di mana sejumlah 477,508 Ha adalah Hutan Pengeluaran (hutan yang boleh diusahahasilkan, manakala bakinya seluas 146,341 Ha adalah hutan perlindungan (Laporan Audit Negara 2016).
NAZMAN CHE IBERAHIM ialah Presiden Pertubuhan PERTAHAN Kelantan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments
Post a Comment