NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Hakim tetap tarikh bicara kes rogol Exco Perak



IPOH, 8 Rabiulakhir 1441H, Khamis
– Mahkamah Sesyen di sini menetapkan tarikh perbicaraan kes rogol melibatkan Exco negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong pada 10 hingga 14 Febuari tahun depan.

Hakim, Norashima Khalid menetapkan tarikh tersebut semasa pengurusan kes membabitkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu itu hari ini.

Beliau turut mengarahkan, tertuduh supaya hadir sepanjang tempoh perbicaraan selain membenarkan permohonan pihak pendawaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar untuk mendapatkan seorang jurubahasa.

Terdahulu, peguam tertuduh, Farhan Sapian memohon mahkamah supaya menetapkan tarikh sebutan semula kes dan bukan perbicaraan atau jika perbicaraan, pihaknya memohon selewat-lewatnya pada bulan Mac tahun hadapan.

Katanya, tarikh itu wajar kerana pihak pembelaan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh, yang menolak permohonan untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 26 November.

Menurut Farhan, permohonan rayuan difailkan pada 28 November lepas dan pihaknya masih menunggu tarikh untuk sebutan di Mahkamah Rayuan dan sebarang keputusan akan memberi kesan kepada keseluruhan prosiding.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Azhar Mokhtar membantah permohonan Farhan dan berkata, sesuatu kes mahkamah yang melibatkan penjawat awam perlu diselesaikan dalam tempoh masa enam bulan daripada tarikh ia difailkan.
Kes Yong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh difailkan di pejabat pendaftar mahkamah di sini pada Ogos lalu.

Selain itu, Azhar berkata, mahkamah tidak boleh menangguhkan perbicaraan tersebut kerana tempoh yang lama memberi kesan terhadap emosi mangsa.

Hujah Azhar, turut disokong oleh Peguam pemerhati mewakili pihak kedutaan Indonesia dan mangsa, Azura Alias yang memohon mahkamah supaya mempercepatkan kes tersebut.

Selain Azhar Mokhtar, pendakwaan turut diwakili Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman.

Pada 23 Ogos lepas, Yong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya itu di sebuah rumah di Meru Desa Park, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, 7 Julai.- Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo