NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anifah Tolak Tawaran Zahid Bertanding Atas Tiket BN


KOTA KINABALU – Bekas pembantu Anifah Aman mendakwa Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi membuat tawaran kepada bekas menteri itu untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Kimanis tetapi ditolak.

Bekas setiausaha politik Anifah, Norhaidi Che Dan berkata, dia juga mendapat tahu bekas perdana menteri, Najib Tun Razak juga cuba memujuk Anifah bertanding untuk BN.

Beliau berkata Zahid menawarkan pencalonan kepada Anifah apabila Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh hari mengundi yang akan diadakan pada 18 Januari.

“Tetapi beliau tolak tawaran Zahid kerana mereka mahu beliau bertanding bawah lambang BN tetapi beliau sudah tinggalkan UMNO sejak tahun lepas.

“Kalau Anifah mahu bertanding kerusi itu, ia akan dilakukan menerusi parti lain, sebuah parti tempatan.

“Kalau beliau berminat untuk mempertahankan kerusi itu untuk BN, beliau akan melobi pencalonannya tetapi beliau tidak berbuat demikian. Beliau tak berminat mempertahankan kerusi itu, apa lagi bawah BN,” kata Norhaidi kepada FMT.

Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin sebelum ini berkata parti itu sedia mempertimbangkan Anifah, yang keluar Umno pada September tahun lepas, sebagai calonnya hanya jika beliau bersetuju bertanding atas tiket BN.

Norhaidi berkata Anifah juga menolak tawaran Zahid kerana tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah membatalkan kemenangannya pada pilihan raya umum lepas, serta membantah cara SPR mengendalikan proses pilihan raya.

Kerusi Kimanis dikosongkan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengisytiharkan kemenangan Anifah tidak sah dan terbatal.

Mahkamah Pilihan Raya mendapati ada percanggahan dalam pengendalian proses pilihan raya dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang pilihan raya secara meluas, yang menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

Anifah, seorang bekas menteri luar negeri, sebelum ini mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi itu dan sedang mempertimbangkan saman terhadap SPR bagi mendapatkan ganti rugi.

Norhaidi juga menepis laporan anak-anak Anifah, iaitu Ahmad Firdaus dan adiknya, Ahmad Zachry – dikatakan dalam senarai pendek calon UMNO – berminat untuk bertanding.

Dia berkata Zachry bukan seorang ahli politik sementara Firdaus pula, walaupun seorang ahli UMNO, “tidak berminat”.

Firdaus adalah ketua Pemuda UMNO Kimanis manakala Zachry seorang ahli UMNO biasa.

Dilaporkan mereka berdua antara 6 nama yang sedang dipertimbangkan UMNO Sabah untuk pilihan raya kecil itu. – FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo