NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kita konsisten desak RCI tragedi Memali, kata PAS Kedah


PETALING JAYA – Di sebalik kerjasama rasmi PAS dan UMNO, parti Islam itu konsisten mendesak pihak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa Memali yang berlaku pada 1985.
Perkara itu ditegaskan Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahya dengan berkata, penubuhan RCI berhubung peristiwa itu turut disokong Umno.

“Isu Memali, kita konsisten mendesak supaya RCI dibuat untuk mencari punca kejadian dan sebagainya. Kita tetap menuntut keadilan untuk mangsa yang teraniaya. PAS Kedah anggap peristiwa Memali isu besar.

“Saya yakin UMNO sendiri setuju RCI diadakan sebab parti itu sendiri tidak bersetuju dengan tindakan terhadap Ustaz Ibrahim Libya pada 1985.

“Kita tidak tuduh Dr. Mahathir Mohamad, kita juga tidak tuding jari kepada mana-mana pihak sebab itu kita desak buat RCI. Ia dapat mendedahkan siapa dalang peristiwa itu,” katanya kepada FMT.

Dalam perkembangan sama Ahmad turut menegur sikap Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang menyalahkan PAS kerana gagal mendesak supaya RCI Memali diadakan.

“Kita sudah minta RCI itu. Kita telah buat persiapan untuk RCI sudah lama. Sementara masih ada lagi saksi, masih ada lagi bukti hidup.

“Kalau Khalid nak perjuangkan keadilan untuk mangsa Memali, dia sudah duduk dalam kerajaan. Dia tidak boleh tuding jari kepada pembangkang,” katanya menjawab kenyataan Khalid sebelum ini yang meminta PAS membawa isu RCI, bukannya beliau.

Terdahulu Khalid mendakwa PAS menimbulkan kembali isu tersebut apabila setiausaha agung parti itu, Takiyuddin Hassan ketika menjawab pertanyaan pemberita berkata, tragedi Memali “menjadi kecil” berbanding agenda besar penyatuan ummah dengan UMNO melibatkan parti itu ketika ini.

“Kenapa nak suruh saya bawa? Ini PAS yang keluarkan kenyataan. Kami tidak keluarkan kenyataan. PAS keluar kenyataan bahawa isu itu sudah menjadi kecil,” kata Khalid.

Mengulas dakwaan Khalid bahawa PAS cuba memperkecilkan isu Memali setelah bekerjasama dengan UMNO, Ahmad berkata, kenyataan setiausaha agungnya itu bukan bermaksud tragedi itu dilupakan.

“Pendirian PAS Kedah, PAS pusat, sebenarnya senada sahaja. Kita tetap memperjuangkan nasib mangsa Memali. Cuma kalau nak letak keutamaan 1,2,3, tapi isu Memali tetap tidak terkeluar daripada perhatian. Bukan makna kecil kita abaikan, tidak sama sekali,” katanya.

PAS dan UMNO menandatangani piagam kerjasama minggu lalu sekali gus menamatkan persengketaan lama antara dua parti itu.

Tragedi Memali berlaku di Kampung Memali, Baling pada November 1985.

Berikutan kejadian itu, 18 orang maut, termasuk Ibrahim Libya, 13 pengikutnya dan empat orang anggota polis.

Sebagai bekas pemimpin PAS, kematian Ibrahim semakin mengeruhkan hubungan parti tersebut dengan UMNO yang menguasai kerajaan ketika itu dan terus menjadi “titik panas” antara 2 parti orang Melayu itu. – FMT

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo