NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Indonesia Memilih Presiden Dan Timbalan: Mengimbau Sejarah Dan Unjuran


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Tanah seberang semenjak dua tahun lepas terus hiruk pikuk dengan kempen memilih Presiden,di negara paling besar jumlah populasi muslim dalam dunia. Pilihanraya dinegara bekas tanah jajahan Belanda itu juga mempunyai pemilih yang paling ramai dalam dunia. 17 April 2018,maka rakyat akan mencoblos pilihan mereka diantara Joko Widodo (Jokowi) daripada Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan yang bernuansa sosialis demokrat dan Prabowo Subianto Djojohadikusumo (Prabowo) daripada Partai Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA) yang tertubuh pada tahun 2008. Dua calon Presiden ini pernah berentap dalam Pilpres (Pilihanraya Presiden) yang lepas,dimana Jokowi pada tahun 2014 telah menewaskan Prabowo dengan 53 peratus undian. Kali ini kedua calon Presiden dan timbalan Presiden kelihatan agak agresif mendekati kelompok agamawan dan pengundi kelas menengah.

Indonesia mempunyai sejarah yang panjang dijajah oleh kuasa Belanda selama 350 tahun sehinggalah merdeka pada tahun 1945. Penjajahan dan perompakan hasil bumi Indonesia mendapat tentangan sengit daripada rakyat Indonesia seperti yang diterjemahkan melalui peristiwa Perang Jawa (1825-1830) yang dipimpin oleh ulama’ iaitu Imam Diponegoro malah di Acheh juga penjajah kafir Belanda mendapat tentangan sengit daripada para santri dan para ‘alim ulama’. Ribuan madrasah atau pesantren yang wujud di seluruh Indonesia telah menjadi benteng pertahanan aqidah yang cukup ampuh bagi mempertahankan Islam dan melahirkan para pejuang Islam.

Di Indonesia, pertubuhan sosial keagamaan yang paling besar keanggotaannya adalah Nahdatul Ulama’ (NU) yang dianggarkan mempunyai seramai 35 juta orang ahli di seluruh negara. NU ditubuhkan di Surabaya pada 31 Januari 1926 dengan kepimpinan awalnya ialah Kiai Abdul Wahab Hasbullah dan Kiai Muhamad Hasyim. Penubuhan gerakan ini dilatari kebimbangan tentang kemaraan yang digelar Wahabi (juga digelar kaum muda atau salafi). Pada masa itu, pengikut Wahabi berjaya menguasai Hijaz dan Raja Abdul Aziz Ibnu Saud ingin mengadakan muktamar antarabangsa di Mekah. NU sehingga sekarang masih mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam sektor sosio politik di Indonesia.

Sebahagian besar umat Islam di Indonesia mempunyai tradisi membaca doa mengikut mazhab, membaca qunut, membaca talqin. Beberapa amalan dan adat yang telah berakar umbi ini telah ditentang oleh gerakan pembaharuan Wahabi dan ulama’-ulama’ tradisi pula merasakan ini merupakan satu ancaman, maka Nahdatul Ulama’ (NU) telah menjadi wadah penyatuan mereka. Semasa penguasaan NU, ulama’-ulama’nya telah menggariskan matlamat NU yang dipanggil Khitbah 1926 yang menegaskan NU ialah sebuah pertubuhan sosial keagamaan yang bebas daripada pengaruh politik kepartian, slogannya ialah ‘Izzul Islam Wal Muslimin’ (Kemuliaan Islam dan Umat Islam). Orientasi perjuangannya terarah kepada masalah ubudiyah, sosial, dakwah, keilmuan dan kemasyarakatan.

Di Indonesia satu mercu tanda penyatuan umat Islam di zaman pendudukan Jepun ialah penubuhan Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia) yang dipimpin oleh seorang tokoh besar iaitu Mohamad Natsir. Ditubuhkan dalam kongres Umat Islam Indonesia yang diadakan di Yogjakarta pada 7 dan 8 November 1945 yang dihadiri oleh wakil-wakil pertubuhan Islam di Indonesia. Kejerihan dan kepayahan hidup di zaman penjajahan Jepun telah memungkinkan umat Islam mencari forum perpaduan malah tapak politik kekuasaan untuk membela Islam. Masyumi telah mengikat pelbagai pertubuhan Islam di Indonesia seperti Nahdatul Ulama’, Muhammadiah, Persatuan Ulama’ Seluruh Acheh, Nahdatul Watan, Al-Irsyad, Persatuan Islam Bandung, Perikatan Umat Islam, Sarekat Tani Islam, Sarekat Nelayan Islam dan pelbagai lagi. Masyumi juga diundang ke Malaya untuk pelancaran Hizbul Muslimin pada Mac 1948.

Kesatuan Aqidah dan disertai lagi dengan kepimpinan Mohamad Natsir yang berwibawa membolehkan parti ini meraih undi kedua terbesar dalam Pilihanraya Umum Pertama yang dipimpin oleh Soekarno. Gerakan Islam ini akhirnya dikhianati oleh puak sekular Indonesia apabila Masyumi telah dituduh terlibat dalam pemberontakan di Sumatera dan Sulawesi, malah ramai pimpinan serta pendokongnya dihumban dan mendekam dalam penjara. Masyumi telah diharamkan pada 17 Ogos 1960, namun para ahlinya tetap memberikan sumbangan kepada Islam melalui pelbagai kegiatan yang lain seperti menghidupkan majlis-majlis Ta’lim, menyebar risalah dan buku seperti yang dilakukan oleh Mohamad Natsir, Omar, HAMKA dan Mohamad Roem. Indonesia terus melalui jalan yang berliku untuk aktivis Islam di zaman pemerintahan Soekarno dan juga Soeharto. Di zaman Soekarno berlakunya peristiwa pembantaian di Tanjung Periuk dan Tragedi Talangsari serta sekatan melampau terhadap gerakan Islam. Zaman gelap ini berakhir dengan berlakunya ‘reformasi 1998’, tumbangnya Jeneral Soeharto dalam gerakan massa yang dipicu dengan kebangkitan anak muda.

Dengan berlakunya perubahan landskap politik pasca Mei 1998, Indonesia turut menikmati sisi gelap dan sisi cerah perubahan. Antara sisi gelap yang menyimbah Indonesia ialah merambahnya faham Islam liberal atau neo muktazilah yang mengancam akidah ummah, reinkarnasi komunisme, lincahnya fahaman syiah, penularan cara hidup bohemian dan pemikiran liberal pragmatis yang terbuka seluasnya. Namun ada sisi cerah yang lain mendakap Indonesia,antaranya kemunculan pelbagai parti bernuansa Islam dan Ormas Islam, bertambahnya fenomena jihad ta’lim dengan kemunculan ramai para daie dan institusi pengajian Islam, meningkatnya FDI serta pemberantasan korupsi yang agak serius, ekonomi yang semakin membaik.

Dalam tempoh dua dekad pasca reformasi Mei 98, negara seribu pulau ini sering memicu perhatian antarabangsa ,termasuk bencana alam yang melanda Acheh, Pagandaran,Cipatujah, Bantul, Lombok, Kota Palu dan Donggala serta pelbagai lagi krisis. Indonesia juga menarik perhatian dunia dengan himpunan tujuh juta ummat Islam membantah keceluparan Ahok pada Disember 2016 sehingga membawa lungsurnya tokoh politik yang kontroversi itu. Fenomena kebangkitan ummah yang dipimpin oleh imam Front Pembela Islam, Habib Rizieq juga mewarnai euforia politik Indonesia. Kali ini kelihatan begitu ramai ulama serta asatizah berada dibelakang Prabowo dan Sandi , termasuk Ustaz Abdul Somad, dengan alasan keagamaan maka Pilpres kali ini agak sengit berbanding 2014. Apa pun kita rakyat Malaysia,terutama umat Islam yang mempunyai ikatan akidah mendoakan yang terbaik buat negara Indonesia. Semoga rakyat Indonesia memilih regu pimpinan yang mesra Syariah, kompeten dan piawai serta mempunyai cita-cita untuk mendaulatkan Islam.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Politik Pusat)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo