NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ICERD: 6 Tuntutan Ahli Parlimen PAS



Kenyataan Media Bersama

AHLI PARLIMEN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)
ISU BERKENAAN SYOR BERKAITAN DENGAN SEMAKAN BERKALA SEJAGAT (UPR)

1. Kami menerima satu memorandum daripada beberapa kumpulan NGO yang diketuai UMMAH berkenaan penolakan terhadap ratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Kami menyatakan sokongan terhadap memorandum ini kerana tindakan meratifikasi ICERD secara langsung akan menyentuh beberapa sendi utama berkenaan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra yang dilindungi di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan perlembagaan yang lain. Malah, kenyataan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid sendiri dalam artikel beliau bertajuk “Pengesahan ICERD Merugikan Melayu” menjelaskan perkaitan berkenaan.


2. Namun, kebimbangan ketika ini lebih terarah kepada proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) Malaysia buat kali ketiga yang akan berlangsung pada awal November ini. Kami mengikuti dengan rapat pelbagai syor-syor yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak. Ini bukan sahaja melibatkan syor untuk meratifikasi ICERD, bahkan turut melibatkan konvensyen antarabangsa yang lain seperti the International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR), Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT), International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of their Families (ICRMW) and International Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance (ICPPED).


3. Tindakan meratifikasi konvensyen juga boleh menjurus ke arah menjadikan murtad sebagai bukan jenayah (decriminalize) sebagaimana terkandung dalam Perkara 18 ICCPR yang turut terdapat dalam Perkara 18 Universal Declaration of Human Rights (UDHR). Hal ini disokong dengan tuntutan supaya Akta Pendaftaran Negara dipinda bagi membuang perkataan Islam dalam Mykad seseorang.


4. Selain soal meratifikasi konvensyen antarabangsa yang menjadi pertikaian, terdapat juga gesaan supaya Kerajaan menarik balik terhadap pengecualian (reservations) dalam Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination against Women (CEDAW), Convention on the Rights of the Child (CRC) serta Convention on the Rights of People with Disabilities (CRPD). Pengecualian klausa-klausa tertentu dalam konvensyen ini dilakukan kerana ia tidak selari dengan perundangan syariah melibatkan soal wali, hak bercerai kepada si isteri dan sebagainya. Maka, langkah menarik balik pengecualian tersebut akan memberi implikasi besar terhadap enakmen keluarga Islam yang diamalkan di negeri-negeri bahkan bertentangan dengan syariat Islam.




5. Tambahan lagi, di sana juga terdapat gesaan supaya Malaysia mengiktiraf hak terhadap golongan LGBT sepertimana saranan yang dikeluarkan oleh SUHAKAM. Malah, sebahagian daripada mereka mengesyorkan supaya Malaysia memansuhkan sebarang undang-undang terhadap perbuatan seksual yang berlawanan dengan fitrah di samping memansuhkan undang-undang terhadap transgender yang berasaskan kepada ekspresi dan identiti gender. 

6. Ingin kami tegaskan bahawa secara prinsip, kita memberi pengiktirafan terhadap hak asasi bagi seseorang manusia. Walau bagaimanapun, menuruti pengamalan hak asasi versi Barat serta menjadikan rujukan sepenuhnya terhadap dokumen hak asasi UDHR tanpa menilai kerangka yang ada dalam negara bukan suatu langkah yang tepat. Sewajarnya kita memahami bahawa hak asasi yang dipraktikkan di negara ini berasaskan kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, perundangan syariah serta perlu bersesuaian dengan budaya dan adat yang diamalkan di negara ini.

7. Oleh yang demikian, kami ingin menyatakan beberapa tuntutan untuk perhatian pihak Kerajaan:

Pertama, kami menuntut supaya Islam dijadikan rujukan utama pengamalan hak asasi di negara ini bertepatan dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan:

“Islam ialah agama bagi Persekutuan…”

Ini turut disokong oleh Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan berkenaan sumpah jawatan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Agama Islam pada Bahagian I Jadual Keempat yang berbunyi:

“…dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memelihara pada setiap masa Agama Islam…”

Kedua, kami menuntut Kerajaan untuk tidak meratifikasi kesemua baki konvensyen antarabangsa kerana jelas tidak bersesuaian dengan kerangka perundangan, pengamalan agama dan budaya yang terdapat dalam negara ini. 

Ketiga, kami juga menuntut supaya Kerajaan tidak menarik balik pengecualian yang diletakkan terhadap CEDAW, CRC mahupun CRPD. Ini kerana pengecualian tersebut dilakukan kerana bertentangan dengan syariat Islam. Sebagai contoh Perkara 16(1)(a) CEDAW berkenaan hak sama rata untuk berkahwin melibatkan langkah untuk menghapuskan pengesahan wali bagi wanita untuk berkahwin. Ini jelas sekali bertentangan dengan syariat Islam yang meletakkan wali sebagai salah satu rukun nikah.

Keempat, kami menuntut supaya Kerajaan terus konsisten menolak pengiktirafan terhadap aktiviti LGBT, namun menyokong sebarang langkah merawat mereka supaya pulang ke pangkal jalan.

Kelima, kami menuntut supaya kebebasan beragama di negara ini terus dipelihara berdasarkan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan di samping menolak sebarang syor untuk decriminalize aktiviti murtad di negara ini. Dalam hal ini, gesaan menghapuskan perkataan Islam dalam Mykad seseorang juga harus ditolak secara penuh.

Keenam, kami menuntut supaya Kerajaan turut melibatkan para ulama’ serta golongan berautoriti agama di negara ini dalam kajian berkenaan hukuman mati supaya kita dapat mengeluarkan suatu ketetapan yang lebih holisitik mengambilkira semua pandangan secara adil.

Sekian.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo