NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Sekarang Atau Bila-Bila Pun, UEC Tidak Boleh Diiktiraf”


SAMA ada sekarang atau pada masa hadapan, Sijil Peperiksaan Persepadu (UEC) sama sekali tidak boleh diiktiraf kerana bertentangan dengan akta pendidikan di negara ini, tegas Gerakan Pembela Ummah yang menggabungkan lebih 300 pertubuhan Melayu.

Aminuddin Yahaya, ketua sekretariat Ummah yang menyampaikan pendirian tegas itu dalam satu sidang media semalam berkata sama ada pada masa sekarang atau masa hadapan, sijil yang bersumberkan negara asing itu tidak boleh diterima.

Tegas Aminuddin, “Gerakan Pembela Ummah ingin mengingatkan bahawa pengiktirafan terhadap UEC tidak dapat dan tidak boleh diterima dalam sistem pendidikan di negara ini secara dasar dan secara prinsip baik sama ada dilaksanakan hari ini ataupun di kemudian hari.”


“Akta Pendidikan 1996 menyebut bahawa dasar pendidikan akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukan bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama. Kurikulum pendidikan dan peperiksaan yang sama.

“Pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan akan memenuhi keperluan negara dan memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik, selaras dengan prinsip Rukun Negara,” katanya lagi.

Pendirian ini ialah respons kepada kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dalam satu rakaman video yang tular menyebut pengiktirafan UEC ialah sebahagian janji manifesto Pakatan Harapan (PH) tetapi tidak akan dilaksanakan segera.

Maszlee memberitahu pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan pada 12 Julai lalu bahawa Kementerian Pendidikan akan tetap memberi pengiktirafan kepada UEC.

Gabungan pertubuhan Melayu itu juga akan menganjurkan siri himpunan membantah keputusan kerajaan PH mengiktiraf UEC, dan perhimpunan pertama dijadual diadakan di ibu negara pada 28 Julai ini.

Katanya, oleh kerana UEC adalah sistem luar yang diambil daripada model pendidikan Taiwan dan China yang tidak mengambil kira atau menerima merentasi budaya bangsa Malaysia, maka sebarang tindakan di pihak kerajaan atau Kementerian Pendidikan bagi mengiktirafnya sama ada hari ini atau kemudian hari adalah bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dikanunkan pada 1996.

“Dalam hal ini, Ummah berpandangan apa-apa keputusan yang mempunyai implikasi besar terhadap agama, bangsa dan negara perlu diperhalusi dengan lebih mendalam termasuk dibahaskan di Parlimen dengan mengambil kira kerangka Perlembagaan.

“Ummah mengulangi bahawa akan terus mendesak dan membantah terhadap pengiktirafan UEC ini dan kami bersedia untuk mengadakan himpunan aman bagi membantah pengiktirafan ini dan membawa rakyat secara besar-besaran bagi menyatakan pendirian menentang pengiktirafan UEC,” tegasnya. – Mynewshub.tv
( Hide )

© all rights reserved
made with by templateszoo