NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

NGO kesan kebebasan bersuara pasca PRU14 ancam Islam



Tuntutan golongan yang anti-Islam, sekular, liberal dan kufar untuk mencorakkan negara mengikut kehendak ideologi dan hawa nafsu mereka adalah antara tindak-tanduk yang muncul pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Keadaan itu semakin meresahkan apabila ada pihak yang semakin bebas menyuarakan desakan dan tuntutan untuk menafikan kedudukan dan fungsi agama Islam sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dengan menimbulkan provokasi supaya beberapa institusi Islam ditutup, murtad dibenarkan dan memansuhkan peruntukan kepada pendidikan Islam.

Rentetan daripada itu 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru, pendakwah dan ilmuan Islam yang menubuhkan Sekretariat Pembela Islam (SPI) serta menganjurkan satu Persidangan Meja Bulat, tiga hari lalu.

Pada masa sama, kerajaan diminta menggubal akta bagi menghalang dan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan amalan atau perbuatan menghina ajaran serta hukum Islam, kita suci al-Quran, hadis dan keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. 
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, SPI berkata, penggubalan undang-undang itu hendaklah dikanunkan sebagai perbuatan yang boleh dihukum mengikut undang-undang sivil dan syariah.

"Ini bagi mengelakkan keadaan menjadi tidak terkawal sehingga menjadi punca kepada perpecahan dan rusuhan kaum dan agama," kata kenyataan itu.

Antara lain resolusi hasil daripada perbincangan meja bulat itu meminta:

● Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri hendaklah memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dengan menyatakan dengan jelas agenda, dasar dan pelan tindakan kepada masyarakat umum;

● Semua peruntukan undang-undang dan Perlembagaan yang menyentuh kedudukan Islam dan umat Islam yang sedia ada hendaklah dikuatkuasakan dan ditambah baik, termasuk RUU355 yang tertangguh dibawa dan diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang;

● Kedudukan ekonomi umat Islam mesti terus dilestarikan melalui pembentukan agenda dan dasar ekonomi umat yang lebih mantap dan menyeluruh sebagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan menjadikan Perkara 153 sebagai paksi dan mewajibkan semua kementerian dan agensi menyerahkan laporan pencapaiannya terus kepada Perdana Menteri;

● Membentuk Suruhanjaya Halal Negara;

● Mengangkat kualiti sistem pendidikan negara menjadi sistem yang berupaya melahirkan insan yang sempurna, berpaksikan tauhid bagi melahirkan masyarakat Malaysia baharu yang jauh daripada kebejatan moral dan akhlak;

● Mengarusperdanakan sistem pendidikan tahfiz dan meneruskan sokongan kepada kewujudan sekolah tahfiz swasta, pondok dan Sekolah Agama Rakyat; dan

● Menggubal undang-undang di bawah Perkara 10(4) Perlembagaan bagi mendakwa dan menghukum mana-mana orang yang mempersoalkan kandungan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak istimewa Melayu dan Bumiputera bagi mengelakkan isu itu terus dipermainkan sebagai isu perkauman dan bahan hasutan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo