NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu Inc Akan Disusun Semula


KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Terengganu Inc., teraju pelaburan negeri akan disusun semula agar dapat diperkasakan ke arah memberi pulangan maksimum kepada negeri dan rakyat.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini antara lain akan melibatkan penstrukturan saiz, rombakan ahli lembaga pengarah dan fokus perniagaan lebih terarah melalui pelan tindakan terancang.

Katanya, pelaksanaan itu perlu disegerakan bagi memastikan syarikat yang berdaya saing dan berpotensi perlu di perkasakan, manakala syarikat - syarikat yang tidak berdaya saing perlu disatukan, dijual atau ditutup sekiranya perlu.

"Bagaimanapun penyusunan semula akan dilakukan dengan cermat agar tidak berlaku kejutan budaya," katanya.

Dr. Ahmad Samsuri menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Terengganu Inc. Bersama Menteri Besar yang berlangsung di Permai Hotel, di sini malam tadi.


Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Rahman Yahaya.

Menurut beliau, tindakan mengecilkan atau mengurangkan bilangan ahli lembaga pengarah dan diganti dengan orang baharu yang mempunyai kompetensi, kebolehan (skill), pengalaman dan integriti tinggi menjadi agenda kepemimpinan kerajaan sekarang.

"Kita mahukan saiz dan kualiti ahli lembaga pengarah dan juga pengurusan tertinggi yang sesuai bagi setiap syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc. dalam usaha memberi pulangan maksimum kepada kerajaan dan rakyat.

"Kita tidak mahu jadikan kedudukan lembaga pengarah anak -anak syarikatnya menjadi tempat mencari makan dan pembahagian harta ghanimah rakyat kepada individu-individu tertentu.

Sebaliknya tegas beliau, Kumpulan Terengganu Inc. perlu menjadi medan atau platform untuk profesional Terengganu berkhidmat dan menabur jasa kepada rakyat negeri ini," katanya.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, harapan utama kerajaan negeri ialah kesemua anak syarikat disatukan melalui pelbagai fokus perniagaan yang berbeza dan boleh memberi pulangan bersama yang lebih berganda.

Oleh itu beliau berharap setiap anak syarikat akan terus istiqamah memainkan peranan dan bergerak seiringan.

Katanya, ini untuk memacu ekonomi negeri ke tahap yang lebih tinggi, khususnya melalui anak syarikat yang berdaya saing seperti TDM Berhad, Epic Berhad, Goden Pharos Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Syarikat Air Terengganu (SATU), Chicken Cottage, Duyong Marina Resort, Hotel Primula dan Hotel Permai.

Katanya, operasi perniagaan perlu terus aktif dengan usaha berganda melalui beberapa pelan tindakan untuk meningkatkan prestasi perjalanan Kumpulan Terengganu Inc.

"Saya mahu prinsip Al-Qawyy dan Al- Amin menjadi teras kepada pengupayaan dan pembangunan sumber manusia atau modal insan Kumpulan Terengganu Inc.

"Saya meletakkan sasaran kepada Kumpulan Terengganu Inc. supaya menjana keuntungan selewat-lewatnya pada tahun 2020," ujarnya.


Sementara itu dalam majlis berkenaan, Dr. Ahmad Samsuri turut menyampaikan sumbangan dan meraikan 73 pelajar pelajar sekolah Tahfiz Al-Hidayah dan 55 anak-anak istimewa dari Sekolah Pendidikan Khas Kuala Terengganu

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo