NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen: Ramai muka baru angkat sumpah

PERSIDANGAN Mesyuarat Pertama Parlimen ke-14 yang akan berlangsung 16 Julai ini mencatat sejarah pertama apabila menyaksikan paling ramai muka baru mengangkat sumpah.

Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah berkata, Parlimen ke-14 mencatatkan sejarah baru apabila 90 Ahli Parlimen yang pertama kali menang Pilihan Raya Umum ke-14 mengangkat sumpah.

Katanya, 11 Ahli Parlimen kembali semula ke Dewan Rakyat manakala 121 Ahli Parlimen pada persidangan Parlimen ke-13 akan mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat pada Persidangan Parlimen ke-14.

"Persidangan kali ini menyaksikan campuran Ahli Parlimen yang berpengalaman dan mereka yang pertama kali menjadi ahli Dewan Rakyat dengan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menjadi Ahli Parlimen paling muda yang mana beliau masih seorang pelajar," katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Ahli Dewan Rakyat Parlimen Ke-14 di Kuala Lumpur, hari ini.

Roosme berkata, persidangan pertama Dewan Rakyat pada 16 Julai ini akan bermula dengan majlis pemasyhuran Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan diikuti majlis mengangkat sumpah semua 222 Ahli Parlimen.

Selepas itu beliau akan menerima usul pelantikan dua Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan berangkat merasmikan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 pada 17 Julai.

Mengulas mengenai pelantikan Speaker Dewan Rakyat, beliau masih belum menerima usul berhubung perkara itu.

Katanya, mengikut peraturan mesyuarat Parlimen, usul mengenai pencalonan pelantikan Speaker Dewan Rakyat perlu dikemukakan selewat-lewatnya 14 hari sebelum persidangan Parlimen bermula.

Mengulas mengenai majlis taklimat berkenaan, katanya taklimat itu memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai perjalanan persidangan mesyuarat kerana ada ramai Ahli Parlimen baharu yang kali pertama menghadiri persidangan Parlimen.

Beliau juga menerangkan mengenai cara bagaimana Ahli Parlimen mengemukakan usul dan peraturan mesyuarat yang berkaitan. 

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo