NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tanggungjawab jaga Islam, Melayu Peringatan Abdul Hadi kepada kerajaan

Menjadi tanggungjawab pakatan untuk membuat satu penyelesaian tentang kedudukan majoriti umat Islam di negara ini yang perlu diambil kira dalam susunan Kabinet, tidak boleh ambil kira kedudukan kerusi sahaja, kena ambil kira demografi penduduk untuk jaga ketenteraman dan kebaikan seluruhnya

KUALA LUMPUR 28 MEI - Kepemimpinan Islam da­lam kerajaan Pakatan Harapan diingatkan supaya berpegang kepada tanggungjawab memastikan kedudukan Islam serta orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipertahankan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat penegasan itu berikutan kerusi dimenangi Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu disifatkan beliau tidak seimbang apabila hanya 58 kerusi milik ahli Parlimen beragama Islam berbanding 66 kerusi bukan Islam.

Lebih-lebih lagi, kata Abdul Hadi, parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan tidak mempunyai ideologi yang sama, hanya bermatlamatkan menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

"Kemenangan itu tidak selaras dengan demografi penduduk Malaysia yang terdiri daripada 60 peratus umat Islam. Kita perlu sedar politik demografi, siapa yang kuasai undi majoriti umat Islam, dia kuasai negara.

"Menjadi tanggungjawab pakatan untuk membuat satu penyelesaian tentang kedudukan majoriti umat Islam di negara ini yang perlu diambil kira dalam susunan Kabinet, tidak boleh ambil kira kedudukan kerusi sahaja, kena ambil kira demografi penduduk untuk jaga ketenteraman dan kebaikan seluruhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel rancangan 100 Hari Malaysia Baharu yang disi­arkan secara langsung di Astro Awani hari ini.

Dalam pada itu, ditanya me­ngenai mesej beliau kepada ke­pemimpinan PAN yang dulunya dilabel sebagai 'parti nyamuk' oleh Pas, Abdul Hadi mengingatkan mengenai tanggungjawab besar dipikul mereka yang kini menjadi komponen pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

"Sekiranya masih ada sebesar zarah semangat Islam dalam diri mereka, mesti pertahankan kedudukan Islam, tidak rasa ma­lu, segan dalam Pakatan Ha­rapan. Mesti bawa suara Islam dalam kerajaan," jelas beliau.

Kepada DAP pula, Abdul Hadi secara sinis berharap parti itu meneruskan sikap tidak 'cirit-birit' membuat kenyataan mengenai Islam seperti sebelum ini.
"Hak orang Islam, biar Islam cakap. Jaga hak kaum mereka sendiri, Islam tidak ganggu hak mereka," ujarnya.



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo