NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tragedi tanah runtuh: NGO buat laporan SPRM



Oleh Siti Sofia Md Nasi

rsiti.sofia@bh.com.my

GEORGETOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung projek rumah mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, yang didakwa mempunyai unsur rasuah.

Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Jati Pulau Pinang, K Praba, berkata pihaknya hairan apabila kerajaan negeri menolak ulasan yang dikemukakan Jabatan Alam Sekitar (JAS), walaupun agensi berkenaan mempunyai kepakaran dalam menentukan jenis pembangunan yang selamat.

"Adalah sesuatu yang pelik apabila kerajaan DAP Pulau Pinang menolak ulasan JAS. Sebelum ini, kerajaan negeri sering mengemukakan syarat supaya mendapatkan kebenaran daripada JAS bagi semua pembangunan baharu.

"Justeru, kami mahu SPRM menyiasat perkara ini. Adakah ia mempunyai unsur rasuah sehingga kerajaan negeri sanggup mengenepikan peranan JAS," katanya ketika ditemui di perkarangan SPRM Pulau Pinang di sini, hari ini.

Sabtu lalu, 11 pekerja binaan maut termasuk seorang warga tempatan, dalam tragedi runtuhan tanah di tapak pembinaan 980 unit perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini.

Mengulas lanjut, Praba berkata, pihaknya turut menyerahkan pelbagai dokumen berkaitan projek berkenaan, termasuk kenyataan JAS dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), sebagai bahan bukti kepada SPRM.

Katanya, bencana yang kerap melanda negeri itu menimbulkan keraguan terhadap ketelusan pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Dulu kerajaan negeri kata rakyat adalah tuan, dan mereka akan ikut kehendak rakyat. Tetapi apabila berkuasa, semuanya berubah.

"Banyak NGO yang sudah bantah projek yang merosakkan alam sekitar, tetapi kerajaan negeri tidak peduli," katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2017/10/342553/tragedi-tanah-runtuh-ngo-buat-laporan-sprm

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo