NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan Teknokrat : Bersediakah Malaysia ?



[ Bahagian 1 ]


Bayangkan Perdana Menteri Malaysia ialah seorang profesor sains politik yang masih berkhidmat di universiti awam tempatan. Manakala Timbalan Perdana Menteri pula seorang pakar undang-undang antarabangsa yang mempunyai firma guaman yang tersohor.

Menarik bukan?

Apa kata seorang akauntan bertauliah dipilih sebagai Menteri Kewangan manakala guru sekolah dan pensyarah universiti masing-masing menjadi Menteri Pendidikan dan Menteri Pengajian Tinggi. Apatah lagi jikalau bekas panglima angkatan tentera menjawat kedudukan sebagai Menteri Pertahanan yang menjaga keselamatan darat, laut dan udara negara.

Kesemua ahli jemaah menteri yang dilantik daripada golongan teknokrat mungkin asing di Malaysia tetapi tidak di negara lain.

Minggu lepas, sebuah negara di benua Eropah, Romania telah membentuk kerajaan teknokrat dengan kelulusan parlimen dan presiden negara, Klaus Iohannis. Beliau telah melantik Pesuruhjaya Pertanian Kesatuan Eropah, Dacian Ciolos, 46, sebagai Perdana Menteri Romania dan Ciolos telah membentuk kabinet teknokrat yang diisi oleh para diplomat, pemimpin masyarakat sivil dan pakar Kesatuan Eropah (EU).

Kabinet yang diberi tempoh perkhidmatan setahun ini mempunyai tugas berat memulihkan ekonomi dengan menyediakan belanjawan 2016 dan meluluskannya di peringkat parlimen. Kabinet Ciolos ini antaranya terdiri daripada Duta ke UK (Menteri Pertahanan), bekas Duta ke EU (Menteri Luar) dan ahli lembaga pengarah syarikat elektrik (Menteri Tenaga).

Walaupun berdepan tugas sukar dalam suasana rakyat yang muak dengan penipuan dan rasuah, namun kabinet teknokrat ini dijangka mampu mendapat sokongan ahli parlimen daripada pelbagai parti politik kerana kepakaran mereka.

Siapakah yang diberi gelaran sebagai teknokrat? Golongan teknokrat ialah sekumpulan pakar yang mempunyai kemahiran tertentu dalam sesuatu bidang.

Negara Eropah lain seperti Itali, Republik Czech dan Hungary juga telah mempraktikkannya seawal 1990-an (Itali) dan 2009 (Czech dan Hungary) bagi berdepan ketidaktentuan ekonomi.

Profesor di London School of Economic and Political Science (LSE), Kevin Featherstone menggariskan tiga manfaat daripada kerajaan teknokrat ini.


[1] reputasi yang baik dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi, 
[2] sikap meletakkan kepentingan negara lebih daripada politik partisan,
[3] isyarat negara serius dalam berhadapan dengan krisis yang besar.

Walau bagaimanapun menurut Featherstone, kerajaan teknokrat ini merupakan suatu penyelesaian jangka pendek kerana mereka masih perlu tunduk kepada desakan politikus lebih-lebih lagi di saat mereka memperkenalkan dasar yang lebih tegas. Inilah cabaran yang perlu dihadapi kerajaan teknokrat.

Persoalannya mampukah ia dilaksanakan di negara kita?

Ikuti lanjutannya dalam Bahagian 2.

Penulis merupakan Software Testing Executive di sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Vietnam dan merupakan graduan Sarjana Sains daripada The University of Manchester, United Kingdom. Kini bergerak aktif bersama dengan Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Nota kaki : Rencana ini ditulis ekoran lontaran idea Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena dialog bersama rakyat pada 31 Oktober 2015 di Kuala Terengganu.


Rujukan:

1. http://www.reuters.com/…/us-romania-government-idUSKCN0T40P…

2. http://www.bbc.com/news/magazine-15720438


#MovingForward

#ProfesionalIstiqamah

#BeristiqamahHinggaKemenangan

Sumber: https://www.facebook.com/profesionalistiqamah/


© all rights reserved
made with by templateszoo