NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN yakin peluang bentuk Kerajaan Melaka positif




KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi medan penting untuk Perikatan Nasional (PN) membuktikan sokongan rakyat terhadap gabungan ini, khususnya dalam usaha membina keyakinan bagi menerajui kerajaan negeri dan seterusnya menuju Putrajaya.

Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau yakin berdasarkan perkembangan semasa dan maklumat yang dikumpulkan, peluang gabungan itu di Melaka adalah positif serta memberi keyakinan untuk membentuk kerajaan.

Menurutnya, kehadiran ribuan orang dalam program di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bersama pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus serta konvoi yang disertai Ketua Pemuda PAS dan Umno memperlihatkan suasana memberangsangkan.

“Namun perkara yang lebih penting ialah membina sikap saling mempercayai dalam kalangan rakan kerjasama,” katanya dalam Podcast Kekal Tenangdihoskan Suffi Kamari, semalam, ketika membincangkan suasana menjelang PRN Melaka.

Ahmad Samsuri berkata, pengundi kini lebih bermaklumat dan mampu menyemak maklumat, meskipun mereka turut berdepan lambakan maklumat palsu.

Menurutnya, perkembangan generasi muda, termasuk pengundi milenial, Gen Z dan pengundi kali pertama membawa perspektif baharu dalam politik.

“Pengundi, terutama pengundi-pengundi ‘first time voters‘ ini, mereka mahukan penyelesaian dalam kerajaan. Berkerajaan untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk mencari masalah atau mencari alasan untuk tidak menyelesaikan masalah,” jelasnya.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, pendekatan menyelesaikan masalah itu perlu dibawa ke peringkat seterusnya sekiranya PN mahu menerajui Putrajaya.

Keyakinan terhadap sokongan rakyat

Mengulas keyakinannya terhadap usaha PN menuju Putrajaya, Ahmad Samsuri berkata, beliau menilai data, maklumat serta kajian yang dijalankan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, kajian berkenaan menunjukkan peningkatan kepercayaan rakyat dalam pelbagai segmen, bagaimanapun setiap pihak yang diberi amanah perlu melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin.

Beliau juga mengaitkan perubahan sokongan politik dengan janji yang tidak ditunaikan serta keputusan yang dibuat berdasarkan maklumat tidak lengkap.

Sebagai contoh, beliau menyebut keputusan United Kingdom untuk keluar daripada Kesatuan Eropah, yang menurutnya dipengaruhi fakta tidak tepat yang digunakan dalam kempen.

“Kesan keputusan sedemikian akhirnya ditanggung kerajaan dan rakyat,” jelasnya yang juga Menteri Besar Terengganu dan Ahli Parlimen Kemaman.

Beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri United Kingdom bahawa berharap negara itu suatu hari nanti kembali menyertai Kesatuan Eropah, namun tidak akan memulakan langkah tersebut kecuali jika tuntutan itu datang daripada rakyat.

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata, pengundi mungkin membuat pembetulan dalam pilihan raya akan datang selepas menilai janji-janji yang tidak ditunaikan.

Menurut Samsuri, kecenderungan undi yang dilihat dalam beberapa pilihan raya, termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, serta perkembangan menjelang PRN Melaka, menjadi antara petunjuk yang diperhatikan PN.

Jelasnya, PRN Melaka penting untuk memberi gambaran tentang peluang kerjasama PN dan Barisan Nasional (BN) pada masa hadapan.

Jentera PN diminta terus bekerja

Mengenai persiapan menghadapi PRN Melaka, Ahmad Samsuri berkata, beliau telah mengunjungi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PN dan menerima taklimat daripada bilik gerakan.

Menurutnya, calon serta jentera daripada GERAKAN, WAWASAN dan PAS menunjukkan komitmen tinggi, selain menerima bantuan daripada negeri-negeri lain.

Jelasnya, jika komitmen itu dapat dikekalkan sehingga hari pengundian pada Sabtu, beliau yakin sasaran PN di Melaka berada dalam jangkauan yang positif.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan calon dan jentera supaya tidak menganggap kemenangan sudah pasti sebelum pertandingan berakhir.

“Kalau main bola, tak cukup 90 minit, belum tentu lagi. Ada pasukan yang 2-0. 2-0 kalah kan? Tapi 5 minit yang terakhir, dia sempat jaring 3 gol,” ujarnya.

Beliau berkata kerusi yang dianggap sukar juga masih boleh dimenangi sekiranya jentera terus bekerja sehingga saat akhir.

Kerjasama untuk tadbir negeri

Ketika ditanya mengenai sumbangan PN dalam pentadbiran Melaka sekiranya gabungan itu menjadi sebahagian kerajaan, Ahmad Samsuri berkata zaman sebuah parti memerintah tanpa pengawasan atau teguran sudah berlalu.

Menurutnya, realiti politik semasa menuntut parti-parti bekerjasama, seperti yang berlaku di beberapa negara maju apabila tiada satu parti memperoleh majoriti sendiri.

Beliau berkata, penglibatan PN dalam kerajaan negeri boleh menyediakan ruang untuk menyumbang idea dan menjadi mekanisme semak dan imbang terhadap parti yang lebih besar.

Sebagai contoh, beliau menyentuh keadaan di Terengganu ketika PN memerintah dengan kemenangan 32-0.

“Walaupun tiada pembangkang di Dewan Undangan Negeri, teguran masih boleh disampaikan melalui media sosial, netizen dan perbincangan masyarakat, termasuk di kedai kopi,” jelasnya.

Ahmad Samsuri berkata, beliau menggalakkan Ahli Dewan Undangan Negeri di Terengganu menegur kerajaan, sama ada dalam Persidangan DUN atau di luar dewan, dengan memberikan pandangan yang membina.

Beliau berpandangan kerjasama di Melaka kelak boleh membuka ruang untuk rakan dalam kerajaan saling menegur dan membantu, sekali gus menggabungkan idea daripada pihak yang berbeza.

Hubungan negeri dan Persekutuan

Menjawab pandangan bahawa calon yang mempunyai hubungan dengan Kerajaan Pusat lebih mudah membawa manfaat kepada negeri, Ahmad Samsuri berkata isu itu tidak semudah mempunyai hubungan langsung dengan Perdana Menteri.

Menurutnya, penilaian perlu dibuat terhadap keupayaan kerajaan negeri secara keseluruhan, bukan hanya hubungan seseorang wakil rakyat dengan pemimpin Pusat.

Beliau juga mengingatkan bahawa Pilihan Raya Umum boleh berlangsung dalam tempoh kurang daripada setahun, dan kedudukan politik selepas itu bergantung kepada keputusan rakyat.

Menurutnya, hujah mengenai hubungan langsung dengan Kerajaan Pusat merupakan pendekatan lama.

“Perkara utama ialah bagaimana sesebuah negeri bergerak ke hadapan, dengan hubungan negeri dan Persekutuan diatur melalui terma yang sedia ada,” ujarnya.

Beliau memberikan Kedah sebagai contoh, dengan menyatakan jumlah pelaburan yang direkodkan di negeri itu dalam tempoh dua tahun lalu melebihi RM100 bilion.

Tambahnya, angka itu merupakan rekod baharu dan belum pernah dicapai ketika BN mentadbir negeri berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata kebersamaan BN dan PN dalam menjaga negeri Melaka boleh diterjemahkan kepada kerjasama di tempat lain selepas ini. – HARAKAHDAILY 10/11/2026





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo