NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MyKiosk RM150 juta terbiar, kerajaan digesa audit




KUALA LUMPUR
: Kerajaan digesa melaksanakan audit penggunaan aset pihak berkuasa tempatan (PBT) susulan terdapat kemudahan MyKiosk yang dibina menerusi projek bernilai RM150 juta terbiar tanpa penyewa dan aktiviti perniagaan.

Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan projek berkenaan yang sepatutnya membantu peniaga kecil dan usahawan mikro.

Menurut beliau, masalah tersebut bukan sahaja berlaku di Taman Sri Layang dan Taman Cengal, malah turut dikesan di sekitar Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Temerloh serta beberapa lokasi lain di seluruh negara.

Beliau mempersoalkan syarikat yang memperoleh tender pelaksanaan projek MyKiosk di seluruh negara, selain meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan jumlah kiosk yang masih kosong, khususnya di Temerloh.

“Adakah kementerian mempunyai pangkalan data yang merekodkan kadar penggunaan kiosk dan apakah tindakan untuk menghidupkan semula kemudahan ini?

“Termasuk menawarkan sewaan bersubsidi kepada peniaga kecil, usahawan wanita dan golongan B40?” soalnya membahas Belanjawan 2027 peringkat Jawatankuasabbagi KPKT di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut meminta kementerian menjelaskan jumlah kutipan sewa MyKiosk serta langkah memastikan kemudahan yang dibina menggunakan wang rakyat itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Sehubungan itu, Salamiah mencadangkan supaya audit penggunaan aset PBT dilaksanakan sebelum kerajaan meneruskan pembinaan MyKiosk baharu bagi mengelakkan pembaziran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau membangkitkan isu penyalahgunaan lesen premis perniagaan di Temerloh apabila terdapat premis berdaftar sebagai kedai perniagaan atau kedai komputer, tetapi dipercayai menjalankan kegiatan perjudian secara tersembunyi.

Menurutnya, kegiatan perjudian haram itu dikatakan semakin berleluasa, termasuk premis yang berselindung di sebalik perniagaan telekomunikasi.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai penglibatan pekerja wanita Muslim dalam kegiatan berkenaan, justeru, meminta PBT mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kegiatan tersebut.

Banjir kilat, tanah mendap ancam keselamatan

Salamiah turut mendesak tindakan segera bagi menyelesaikan masalah banjir kilat berulang di beberapa kawasan perumahan di Temerloh, khususnya Taman Rimba Mentakab dan Perumahan Makmur Paya Jejawi.

Menurut beliau, penduduk Taman Rimba Mentakab, terutama di Jalan Selasih, Jalan Nipah, Jalan Mengkudu dan Jalan Inai, sentiasa bimbang setiap kali hujan lebat berikutan risiko banjir kilat.

Katanya, masalah itu sudah lama berlarutan walaupun aduan dikemukakan kepada pihak berkaitan.

Penduduk Perumahan Makmur Paya Jejawi turut berdepan masalah sama apabila hujan lebat sering mengakibatkan banjir kilat.

Beliau turut membangkitkan kejadian tanah mendap di Temerloh Jaya 6 yang berlarutan sejak 2021 sehingga menyebabkan jalan di bahagian belakang kawasan berkenaan semakin retak, rosak dan berlubang.

Keadaan itu dikatakan mengancam keselamatan 12 penghuni yang tinggal berhampiran kawasan terbabit.

Masalah tanah mendap turut dilaporkan berlaku di Taman Pulai Idaman, Temerloh yang dikhuatiri membahayakan penghuni rumah walaupun aduan sudah dibuat sejak beberapa bulan lalu.

Selain itu, beliau membangkitkan masalah kekurangan tempat letak kereta di bandar Temerloh yang boleh menjejaskan kegiatan perniagaan setempat.

Menurutnya, hampir 90 peratus kawasan tempat letak kereta ditandakan dengan garisan kuning sehingga menyukarkan orang ramai untuk berhenti dan berurusan di premis perniagaan.

Keadaan itu menyebabkan peniaga kehilangan pelanggan apabila pengguna lebih cenderung mendapatkan barangan secara dalam talian.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat bagi mengatasi masalah tersebut.

Pada masa sama, Salamiah meminta PBT menangani masalah anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan termasuk Taman Temerloh

Makmur, Taman Temerloh Jaya dan kawasan sekitarnya kerana dikhuatiri mengancam keselamatan penduduk.

Perumahan pesat, kemudahan asas ketinggalan

Menyentuh aspek perancangan bandar dan desa, Salamiah mengambil maklum peningkatan peruntukan daripada RM66 juta kepada RM68 juta, namun mempersoalkan sejauh mana pertambahan itu mampu meningkatkan kualiti perancangan pembangunan.

Beliau berkata, pembangunan kawasan perumahan baharu semakin pesat, tetapi penyediaan kemudahan awam seperti sekolah, klinik, jalan raya, sistem saliran, perparitan dan bekalan air bersih tidak berkembang seiring pertambahan penduduk.

Sebagai contoh, katanya, lebih 10 taman perumahan dibangunkan di sepanjang Jalan Maran, Temerloh dalam tempoh kurang lima tahun sehingga memberi kesan kepada kehidupan penduduk setempat.

Antara masalah yang timbul ialah kesesakan jalan raya, kekurangan kemudahan asas, gangguan bekalan air bersih dan kepadatan murid di sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan Parit Pulai.

Beliau meminta KPKT menjelaskan mekanisme perancangan bagi memastikan setiap pembangunan perumahan baharu disertakan kemudahan awam dan keperluan asas yang mencukupi.

Salamiah turut mempersoalkan sama ada kementerian melaksanakan penilaian impak pembangunan terhadap risiko banjir dan kapasiti sistem saliran sebelum sesuatu projek diluluskan.

Pada masa sama, beliau mahu pembangunan pekan kecil dan kawasan luar bandar diberikan perhatian sewajarnya supaya tidak terus ketinggalan berbanding bandar utama.

Bandar perlu mesra OKU, warga emas

Dalam aspek kemampanan bandar, beliau meminta KPKT menetapkan standard minimum kepada PBT bagi memastikan laluan pejalan kaki lebih selamat, bersambung dan mesra orang kurang upaya (OKU), khususnya di pusat bandar serta kawasan sekolah.

Beliau mencadangkan pelaksanaan audit laluan pejalan kaki dengan penglibatan golongan OKU, warga emas dan pengguna kereta sorong bayi bagi memastikan kemudahan awam benar-benar memenuhi keperluan pengguna.

Menurutnya, dasar pembangunan bandar mesra warga emas dan OKU perlu diberikan perhatian serius memandangkan Malaysia sedang menuju masyarakat menua.

303 projek sakit, 100 terbengkalai

Dalam isu perumahan, Salamiah membangkitkan statistik setakat 30 Jun 2026 yang menunjukkan terdapat 303 projek perumahan sakit dan 100 projek terbengkalai di Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau, projek terbengkalai itu melibatkan 14,961 pembeli yang masih menunggu kediaman masing-masing disiapkan.

Beliau meminta KPKT menyatakan sasaran tahunan pemulihan projek perumahan terbengkalai serta bentuk perlindungan yang disediakan kepada pembeli yang terpaksa membayar pinjaman perumahan walaupun rumah belum disiapkan.

Selain itu, beliau meminta kementerian menyiasat dakwaan kegiatan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along yang berselindung di sebalik lesen syarikat kredit komuniti.

Katanya, pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan tersebut, termasuk permohonan bantuan daripada individu yang terjerat dengan pinjaman along.

Beliau mahu KPKT memperketat penguatkuasaan bagi memastikan syarikat kredit komuniti berlesen tidak mengambil kesempatan terhadap golongan B40 yang terdesak mendapatkan pinjaman sehingga dibebani hutang.

Status Balai Bomba Lanchang dipersoal

Salamiah turut meminta penjelasan kerajaan mengenai status cadangan pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Lanchang yang disifatkan amat diperlukan penduduk setempat berikutan jaraknya yang jauh dari Temerloh.

Beliau mahu kementerian menjelaskan sama ada projek itu sudah diluluskan, tarikh pembinaan dijangka dimulakan serta langkah alternatif bagi memastikan keperluan perkhidmatan bomba dan penyelamat di kawasan berkenaan dapat dipenuhi.

Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa terkilan apabila wakil rakyat pembangkang, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tidak dijemput menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Tindakan Daerah.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan aduan dan permasalahan penduduk disampaikan secara langsung kepada agensi serta jabatan kerajaan menerusi platform berkenaan.

Beliau menegaskan bahawa wakil rakyat pembangkang juga perlu diberikan ruang untuk membawa suara penduduk bagi memastikan masalah rakyat mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya.

“Wakil rakyat pembangkang juga perlu diberikan ruang untuk membawa suara dan permasalahan penduduk di kawasan masing-masing,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 19/11/2026




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo