NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Ini Kalah Teruk” – Pemerhati Politik Persoal Strategi Kempen PH

KUALA LUMPUR, 15 November – Kegagalan Pakatan Harapan (PH) mencatat keputusan memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 disifatkan sebagai kekalahan besar yang perlu dijadikan pengajaran oleh kepimpinan gabungan itu.

Pemerhati politik, Azizi Safar berkata, pendekatan kempen PH yang terlalu menumpukan dakwaan salah guna kuasa dan rasuah terhadap parti lawan dilihat tidak lagi berkesan untuk menarik sokongan pengundi.

Menurutnya, pengulangan naratif sama termasuk penggunaan slogan berkaitan isu rasuah tidak mencukupi untuk meyakinkan rakyat yang kini lebih mengutamakan tawaran penyelesaian masalah dan rekod kerja calon.

Beliau berkata, keputusan di beberapa kerusi utama turut memperlihatkan penolakan pengundi terhadap pendekatan kempen berkenaan.

Antara yang menjadi perhatian ialah kekalahan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin, di DUN Paya Rumput kepada calon Perikatan Nasional (PN), Rafie Ahmad.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikongsikan, Rafie memperoleh 15,577 undi berbanding 9,569 undi oleh Azman, dengan majoriti 6,008 undi.

Turut mencuri perhatian ialah kekalahan Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari, di DUN Bukit Katil kepada calon PN, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif.

Ridzuan memperoleh 10,624 undi manakala Adly mendapat 5,655 undi, sekali gus memberikan kemenangan dengan majoriti 4,969 undi kepada calon PN.

Azizi menyifatkan kekalahan beberapa tokoh utama PH itu sebagai petunjuk bahawa gabungan berkenaan perlu menilai semula pendekatan politik dan strategi kempen menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau turut mengaitkan keputusan di Melaka dengan perkembangan pilihan raya di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, yang menurutnya menunjukkan satu pola perubahan penerimaan pengundi terhadap naratif politik PH.

Katanya, pengundi kini mahu mendengar perancangan konkrit mengenai pembangunan, kebajikan dan penyelesaian masalah rakyat, bukannya kempen yang hanya tertumpu kepada tuduhan terhadap pihak lawan.

“Pengundi nak dengar apa nak buat untuk mereka, bukan apa yang nak tuduh pada lawan. Pengundi nak dengar tawaran, bukan tuduhan. Pengundi nak tengok kerja, bukan cakap,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kepimpinan PH akan mengambil iktibar daripada keputusan PRN Melaka atau terus mengulangi pendekatan kempen yang sama pada pilihan raya akan datang.

Untuk rekod, keputusan rasmi PRN Melaka ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 21 kerusi, PN tiga kerusi manakala PH hanya memenangi empat daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

Keputusan itu memberikan BN dan PN keseluruhan 24 kerusi, sekali gus membolehkan kedua-dua gabungan membentuk kerajaan negeri.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo