BANGI, 25 JAMADILAWAL — Aktivis masyarakat, S. Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra mempersoalkan perbezaan tindakan terhadap individu yang mencuri barangan keperluan dengan pihak yang menduduki tanah tanpa kebenaran.
Menerusi hantaran ringkas di Facebook, beliau menyindir tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap pencuri milo berbanding penyelesaian diberikan dalam kes pencerobohan tanah.
“Curi milo dipenjara. Curi tanah diberikan tanah. Patut curi milo diberikan milo kan?” katanya.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan tidak menyatakan secara khusus kes pencerobohan tanah atau pihak yang dirujuk.
Kenyataan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pendirian lantang beliau sebelum ini berhubung pembinaan kuil tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan atau milik persendirian.
Sebelum ini, kerajaan Selangor memaklumkan sebanyak 688 kuil dikenal pasti beroperasi tanpa kebenaran di negeri itu setakat April lalu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 433 kuil berada di atas tanah kerajaan, manakala 255 lagi didirikan di atas tanah milik persendirian.
Kerajaan negeri turut meneliti cadangan penempatan semula bagi rumah ibadat yang tidak dapat diwartakan di tapak sedia ada, termasuk mengenal pasti lot yang dirizabkan bagi tujuan rumah ibadat bukan Islam.
Sebanyak 58 kuil pula dilaporkan selesai melalui proses pemutihan dan ditempatkan di tapak yang dikhaskan sebagai Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) setakat Februari lalu.
Dalam kes berasingan, seorang bapa kepada lima anak dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku bersalah mencuri barangan bernilai RM394.
Barangan itu termasuk 12 peket susu formula bayi, sembilan peket Milo, minuman, makanan ringan dan pembuka tin dari sebuah pasar raya di Pasir Tumboh pada 11 Oktober lalu.
Namun, tidak dapat dipastikan sama ada kes tersebut yang dirujuk oleh Cikgu Chandra dalam hantarannya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment