NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ada syarikat ambil pekerja Muslim hanya ketika mohon sijil halal – Dr Izhar



BANGI, 24 JAMADILAWAL – Terdapat syarikat yang hanya mengambil pekerja Muslim ketika memohon sijil halal sebelum menamatkan kontrak mereka sebaik kelulusan diperoleh.

Profesor Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, pekerja berkenaan kemudiannya diambil semula apabila syarikat mahu memperbaharui sijil halal.

“Ini benar-benar berlaku dalam industri, pekerja ini hanya akan diambil semula bekerja apabila syarikat ingin membuat penyambungan sijil halal,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya keseluruhan rantaian operasi rumah sembelihan dirombak dengan mewajibkan pensijilan halal bagi setiap syarikat.

Beliau turut mencadangkan setiap premis menempatkan sekurang-kurangnya tiga pekerja Muslim secara tetap dalam kalangan graduan pengajian Islam atau teknologi makanan.

Menurutnya, pelaksanaan itu penting kerana masih terdapat premis penyembelihan, termasuk yang mempunyai sijil halal, melanggar prinsip syarak khususnya tuntutan memilih makanan yang menepati konsep halal dan baik atau halalan tayyiban.

“Isu ini bukan sekadar persoalan halal atau haram tetapi membabitkan integriti industri terhadap pengguna Islam.

“Pensijilan halal bukan hanya bergantung kepada bahan mentah dan kebersihan tetapi merangkumi keseluruhan rantaian daripada proses pengeluaran, termasuk memastikan haiwan tidak mati sebelum disembelih,” katanya.

Dr Mohd Izhar berkata, pihak penguat kuasa juga perlu menjalankan pemeriksaan mengejut secara berkala di rumah penyembelihan dan tidak hanya bergantung kepada audit berjadual.

Pemantauan terhadap penggunaan peralatan elektrik dalam proses penyembelihan juga perlu diperketat, selain ujian keberkesanan peralatan dilakukan berdasarkan spesifikasi dan keadaan sebenar operasi.

Beliau menegaskan industri halal negara tidak seharusnya hanya mengejar pengeluaran berskala besar sehingga mengabaikan prinsip halalan tayyiban.

“Kita tidak mahu industri halal negara hanya mengejar pengeluaran berskala besar, tetapi mengabaikan prinsip halalan tayyiban kerana halal mesti dibuktikan melalui pematuhan syariah, ketelitian saintifik dan integriti operasi,” katanya.

Cadangan itu dibangkitkan susulan isu sebuah pusat penyembelihan ayam di Puchong yang dipercayai menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik pada kadar voltan melebihi had dibenarkan sehingga menyebabkan ayam mati sebelum disembelih.

Premis berkenaan juga tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), manakala rekod Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menunjukkan tiada perakuan penyembelih pernah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi kegiatan sembelihan di situ.

JAIS masih mendapatkan maklumat daripada pejabat daerah dan tanah bagi mengenal pasti pemilik sebenar premis serta syarikat yang didaftarkan di alamat berkenaan.

Polis pula sedang menyiasat keseluruhan rangkaian bekalan dan pengedaran ayam terbabit.


Sumber | TV Pertiwi






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo