KUALA LUMPUR, 10 November 2026 – Datin Seri Rosmah Mansor menzahirkan rasa syukur apabila suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akhirnya dibenarkan pulang ke kediaman mereka di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.
“Alhamdulillah,” katanya ringkas ketika dihubungi media, menurut laporan Berita Harian.
Rosmah dilaporkan sedang menantikan kepulangan Najib ke kediaman mereka selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah baharu yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd di bawah tahanan rumah.
Keputusan berkenaan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di kediamannya sehingga 23 Ogos 2028, berkuat kuasa serta-merta.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu yang dikeluarkan selepas Najib menjelaskan denda RM50 juta.
Perintah tersebut kemudian digantikan dengan perintah baharu yang memperincikan pelaksanaan baki hukuman menerusi tahanan rumah selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Najib akhirnya tiba di kediamannya di Langgak Duta kira-kira jam 9.27 malam dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 berwarna perak, diiringi beberapa kenderaan daripada Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketibaan beliau turut disaksikan puluhan pengamal media tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di kawasan kediaman itu sejak awal hari bagi mengikuti perkembangan berkenaan.
Dengan kepulangan Najib, beliau kini memulakan baki hukuman bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah sehingga tarikh yang ditetapkan mahkamah.
Bagaimanapun, beliau perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 bagi menjalani hukuman berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - 1Media.my

No comments
Post a Comment