KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO membidas dakwaan Ketua PKR Cabang Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki yang menggunakan titah diraja sebagai bahan jenaka politik.
Exconya, Fadzmel Fadzil menjelaskan Afdlin Shauki sebagai pemimpin politik tidak wajar menjadikan perkara yang terkait dengan institusi diraja bahan jenaka.
“Datuk Afdlin Shauki, titah bukanlah ‘meter elektrik’ atau apa pun Datuk cuba sampaikan kepada kami. Percayalah tak semua benda kita mesti jadikan bahan lawak.
“Membicarakan institusi diraja menuntut ketelitian dan hikmah, bukan sekadar keseronokan menyusun sindiran dan ‘punchline’ bahan jenaka.
“Datuk sendiri mengakui kedua-dua isu mempunyai fakta dan proses undang-undang yang berbeza.
“Maka, perbezaan itulah yang perlu dijelaskan sebelum membuat kesimpulan kononnya UMNO mempunyai ‘setting derhaka’ mengikut kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Baru-baru ini, Afdlin Shauki memuatnaik imej dalam bentuk kartun satira bersama hantaran menyindir pemimpin UMNO mengenai isu titah.
Dalam hantaran berkenaan, Afdlin Shauki mempersoal terdapat ‘meter’ berbeza untuk ‘mengukur’ tahap derhaka berdasarkan pemimpin sebuah parti.
“Dalam krisis melibatkan (Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan) Tuanku Muhriz (Tuanku Munawir), Pemuda UMNO Negeri Sembilan menolak label derhaka sebagai manipulasi politik.
“Bila pelaksanaan tahanan rumah (Datuk Seri) Najib (Razak) ditangguhkan, ada pemimpin UMNO pula melaungkan derhaka.
“Jadi rakyat nak tanya, apa ukuran yang digunakan? Prinsip perlembagaan atau siapa yang mendapat manfaat?,” soalnya.
Mengulas lanjut sindiran berkenaan, Fadzmel yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiawangsa, menegaskan dalam isu Negeri Sembilan, UMNO sentiasa memberikan penerangan mengenai pendirian parti.
Ia termasuk penerangan mengenai bagaimana UMNO menguruskan kewajipan menjunjung institusi diraja dan adat seiring dengan pendirian UMNO seperti termaktub dalam teras Perlembagaan parti.
Jelasnya, struktur unik adat di Negeri Sembilan tidak sama dengan negeri Melayu lain dan ia konsisten dipelihara oleh UMNO.
“Tetapi dalam isu Datuk Seri Najib, saya tidak melihat kepimpinan parti Datuk Afdlin (Shauki) benar-benar tampil memberikan penerangan mengenai keputusan Peguam Negara, khususnya ketika ia telah menimbulkan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.
“Daripada mengheret UMNO ke dalam sindiran, sebaiknya Datuk (Afdlin Shauki) jelaskan keputusan tersebut dan bagaimana perkara ini diuruskan sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
“Ini bukanlah isu Datuk Seri Najib semata-mata. Tetapi sudah menjadi isu kerosakan struktur Perlembagaan. Jika tafsiran pegawai undang-undang boleh menyekat titah kurnia Yang di-Pertuan Agong maka sudah tentu ia akan menjadi duluan yang merosakkan,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment