BANGI, 9 JAMADILAWAL — Pencerobohan tanah awam dan persendirian bagi pembinaan kuil haram merupakan masalah lebih besar dan utama yang perlu ditangani, tegas peguam, Aidil Khalid.
Beliau berkata demikian ketika menempelak cadangan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran supaya hukuman penjara diwajibkan terhadap pesalah yang membinasakan rumah ibadat.
Mengulas cadangan itu, Aidil menegaskan sebarang pindaan undang-undang mestilah bertujuan menangani masalah yang belum dapat ditangani secara memadai melalui peruntukan sedia ada.
“Kita tidak mempunyai masalah rumah-rumah anutan yang dibina secara sah dirobohkan atau dibinasakan. Maka, dalam hal ini, undang-undang sedia ada sudah pun memadai,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, beliau belum pernah mendengar kes rumah ibadat yang dibina secara sah di atas tanah sendiri atau dengan kebenaran kemudian dibinasakan dengan sengaja.
Sebaliknya, beliau mendakwa semua kes pembinasaan rumah ibadat yang dilaporkan setakat ini melibatkan binaan tidak sah yang menceroboh tanah persendirian atau tanah awam.
Beliau merujuk kes kuil di tanah persendirian milik Yayasan Kubra yang dirobohkan, selain kejadian di tepi Lebuhraya Pantai Baru (NPE) dan Bukit Tinggi yang menurutnya melibatkan tanah awam.
“Jadi, masalah kita yang lebih besar dan lebih utama ialah pencerobohan tanah awam dan persendirian untuk membina kuil-kuil haram ini,” katanya.
Mengenai skala masalah berkenaan, Aidil memetik laporan yang menurutnya menyebut sebanyak 688 kuil haram dikesan di Selangor setakat tahun lalu, manakala laporan pada 2020 menyebut terdapat 523 kuil haram di Kedah.
Beliau berpandangan jumlah sebenar mungkin lebih besar sekiranya mengambil kira binaan yang belum dikesan.
“Ini sudah menjadi satu barah yang, jika tidak ditangani segera, akan bertambah parah,” katanya.
Aidil menegaskan prinsip undang-undang adalah jelas bahawa penceroboh merupakan pesalah.
Dalam hal ini, beliau merujuk Seksyen 441 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan (Akta 574) berhubung pencerobohan jenayah serta hukumannya, sambil membangkitkan peruntukan penjara dan denda terhadap pesalah.
Bagi pencerobohan tanah awam pula, beliau merujuk Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang menurutnya memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Bagaimanapun, Aidil membidas pelaksanaan penguatkuasaan yang disifatkannya masih terlalu longgar.
“Undang-undang inilah yang sepatutnya dikuatkuasakan terhadap mana-mana penceroboh, tanpa mengira agama atau kaum.
“Namun realitinya, tindakan penguatkuasaan masih teramat longgar dan jauh daripada apa yang diperuntukkan oleh undang-undang. Ini amat memalukan dan amat mengecewakan,” katanya.
Menyentuh kes kuil berhampiran NPE, beliau mendesak polis menjelaskan tindakan terhadap pihak pengurusannya berhubung dakwaan pencerobohan tanah dan pembinaan tidak sah.
“Sehingga kini, mengapa pengerusi atau penyelia kuil haram di tepi lebuh raya NPE itu masih belum ditahan dan disiasat? Polis perlu jawab dan jelaskan.
“Adakah kertas siasatan telah dibuka untuk menyiasat pencerobohan atau pembinaan tidak sah oleh pihak pengurusan kuil tersebut?” soalnya.
Sehubungan itu, Aidil mencadangkan supaya hukuman terhadap penguat kuasa yang cuai dan gagal menjalankan tanggungjawab turut diberikan perhatian sekiranya undang-undang mahu dipinda.
“Kalau benar mahu meminda undang-undang, kita sepatutnya fikirkan juga bagaimana hendak menghukum penguat kuasa yang sambil lewa dan gagal menjalankan amanah yang sepatutnya, termasuk mereka yang seolah-olah buat tidak nampak terhadap pencerobohan yang berleluasa ini,” katanya.
Terdahulu, Prabakaran mencadangkan kerajaan memansuhkan pilihan hukuman denda di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan supaya pesalah yang disabitkan di bawah peruntukan berkenaan dikenakan penjara.
Menurut laporan Malaysiakini, beliau menjelaskan cadangan itu selepas membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Peruntukan berkenaan berkaitan perbuatan membinasakan, merosakkan atau mencemarkan tempat ibadat atau objek suci.
Dalam perbahasannya, Prabakaran membangkitkan dakwaan pencerobohan sebuah kuil berhampiran NPE serta kerosakan patung di dalamnya, sambil menggesa tindakan tegas terhadap pihak terlibat.
Beliau turut menegaskan bahawa isu kuil yang dibina tanpa kebenaran perlu ditangani pihak berkuasa, bukannya orang awam.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment