BANGI, 13 JAMADILAWAL — Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan pembina kuil haram yang disifatkannya nampak kebal daripada penangkapan dan pendakwaan selama ini, susulan penemuan dadah di stor sebuah kuil di Klang Selatan.
Pengerusi Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) itu merujuk kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar bahawa tanah kuil berkenaan diperuntukkan bagi tujuan pembetungan.
“Kes ini membuka satu persoalan besar buat rakyat Malaysia.
“Adakah ini antara sebab pembina kuil haram nampak kebal dari penangkapan dan pendakwaan selama ini?” soalnya dalam kenyataan di Facebook.
Sehubungan itu, Firdaus berharap pihak berkuasa menangkap semua penceroboh tanah dan pembina rumah ibadat haram di seluruh negara.
Beliau turut mempertikaikan penggunaan istilah “kuil tidak berdaftar” bagi merujuk binaan berkenaan.
Menurutnya, binaan yang didirikan di atas tanah orang lain tanpa kebenaran wajar disebut sebagai binaan haram. Beliau merujuk panduan penggunaan bahasa oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai asas pendiriannya.
Firdaus kemudian mempersoalkan tindakan terhadap kuil-kuil lain tanpa kebenaran di Selangor dengan merujuk angka 687 kuil yang sebelum ini disembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Ini baru 1 kuil haram. Bagaimana dengan 686 lagi kuil haram lain yang terdapat di Selangor?” soalnya.
Beliau mengingatkan bahawa baginda mahu isu pembinaan kuil tanpa kebenaran dihentikan dan dimuktamadkan kerana telah menimbulkan keresahan serta menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
Justeru, Firdaus berharap Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari mengambil tindakan selaras dengan titah baginda.
“Saya berharap Menteri Besar Selangor Dato Seri Amirudin Shari akan menjunjung titah Tuanku Sultan Selangor dengan menghenti serta memuktamadkan isu pembinaan kuil haram di Selangor tanpa memberikan tanah atau wang pampasan,” katanya.
Terdahulu, Shazeli dilaporkan berkata, sebanyak 46 bungkusan plastik mengandungi heroin seberat 20.6 kilogram ditemukan di dalam stor kuil berkenaan.
Menurut laporan Kosmo!, semakan polis mendapati tapak itu merupakan tanah kerajaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembetungan.
Seorang lelaki yang bekerja sambilan dan menetap di kuil berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan. Polis masih menyiasat kemungkinan wujud unsur gangsterisme di lokasi itu.
Sementara itu, kenyataan Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor yang dilaporkan Bernama pada 10 Februari lalu menyebut terdapat 687 kuil tanpa kebenaran di negeri itu setakat 31 Januari 2026.
Jumlah tersebut membabitkan 388 kuil di atas tanah kerajaan dan 299 di atas tanah persendirian. Baginda turut menitahkan supaya pemantauan dilakukan bagi membanteras dan mengawal pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment