NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parti Rafizi bentang 'Belanjawan Bayangan 2027' tiga hari lebih awal daripada PMX



SHAH ALAM - Parti Bersama Malaysia (Bersama) akan membentangkan Belanjawan Bayangan 2027 pada 6 Oktober depan iaitu tiga hari lebih awal sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Pengasas Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad serta Presiden Bersama, Syukri Razab dalam kenyataan bersama berkata, pembentangan itu sebahagian daripada proses pembangunan dasar diusahakan parti untuk membantu membawa kembali politik Malaysia supaya lebih berfokus kepada pertembungan idea dan dasar dalam usaha menyelesaikan masalah negara serta masyarakat.

Menurut mereka, pembentangan Belanjawan Bayangan 2027 juga akan membolehkan orang ramai meneliti cadangan Bersama bagi menjajarkan dasar fiskal dan percukaian negara ke arah lebih mampan.


"Ia seterusnya membolehkan kemampuan pembiayaan dasar serta program negara yang terkandung dalam Kertas-Kertas Kancil dinilai.

"Kertas-Kertas Kancil merupakan kertas dasar yang memperincikan masalah struktur berkaitan ekonomi, politik dan sosial yang memerlukan penyelesaian segera," menurutnya pada Rabu.

Mereka memaklumkan, Bersama akan membentangkan cadangan penyelesaian yang membezakan pendekatan parti itu daripada parti-parti lain melalui setiap Kertas Kancil.

"Siri pertama Kertas Kancil akan dilancarkan pada 27 September 2026, diikuti pembentangan Belanjawan Bayangan pada 6 Oktober 2026.

"Siri kedua Kertas Kancil akan dibentangkan pada 24 Oktober 2026, manakala siri ketiga pada 28 November 2026," ujarnya lagi.

Justeru, pemimpin Bersama terbabit berharap fokus terhadap dasar dan cadangan penyelesaian itu dapat memberi tekanan kepada parti politik lain untuk bersaing atas platform dasar, bukannya berlegar dengan isu sentimen semata-mata.

Dalam kenyataan sama, Bersama turut mengumumkan enam ahli pertama Panel Dasar Bersama yang terdiri daripada tokoh daripada bidang dan pengalaman berbeza.

Mereka terdiri Profesor Madya Dr Ibnor Azli Ibrahim, Dr Feizal Fakurruddin, Datuk Wira Dr Rais Hussin Mohamed Ariff, Khoo Kay Peng, Dr Hamidon Abdul Rahman dan John Lee Von Leon.

Panel itu juga akan bekerja rapat dan memantau secara bebas pembangunan pendirian dasar Bersama yang diusahakan kumpulan dasar parti berkenaan.

Setiap siri Kertas Kancil akan melalui proses maklum balas dengan Panel Dasar Bersama sebelum siri rundingan dengan pemegang taruh diadakan.

Draf akhir Kertas Kancil kemudiannya akan dibuka kepada maklum balas orang ramai sebelum dilancarkan.


Sumber | Sinar Harian









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo