BANGI, 2 RABIULAKHIR — Hubungan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mempunyai sejarah yang jauh lebih lama daripada Kerajaan Perpaduan yang mereka terajui, hari ini.
Anwar pernah berada dalam UMNO dan melalui sebahagian perjalanan politik yang sama sebelum krisis politik 1998 memisahkan mereka.
Beliau kemudian menjadi tokoh utama gerakan reformasi dan pembangkang menentang kerajaan Barisan Nasional (BN), manakala Zahid kekal dalam UMNO sehingga muncul sebagai pemimpin nombor satu parti itu.
Namun politik Malaysia berubah. Garis pemisah antara mereka akhirnya menjadi ruang untuk kedua-duanya kembali duduk di meja yang sama.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 menjadi titik penting. Tiada gabungan parti politik, memperoleh majoriti mudah dan walaupun mencatat prestasi buruk, BN pimpinan Zahid menjadi blok penting dalam pembentukan kerajaan.
Anwar akhirnya menjadi Perdana Menteri, manakala Zahid dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Ironinya, seorang pemimpin yang pernah berada di barisan hadapan ketika era reformasi kini memimpin kerajaan dengan Presiden UMNO sebagai timbalannya.
Kedua-dua pemimpin mempunyai sejarah persahabatan dan politik yang panjang. Malah istilah `cikgu’ pernah muncul dalam rakaman perbualan yang didakwa melibatkan mereka pada 2021.
Kini, beberapa tahun selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, istilah itu muncul semula dalam bentuk yang jauh lebih terbuka.
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini, Zahid menyindir dasar kerajaan dengan menggunakan istilah `guru’, termasuk ungkapan “cukup-cukuplah guru, dengarlah suara rakyat”.
Walaupun Anwar tidak disebut secara langsung, konteksnya mudah difahami.
Anwar tidak memilih untuk membalas dengan nada keras. Sebaliknya, melalui media sosial ketika berada di New Delhi, beliau menyambut sindiran itu dengan gurauan:
“Alhamdulillah guru selamat tiba di New Delhi, India…Semoga anak didik dapat belajar dari guru cara diplomasi Madani diterjemahkan. Slayyy.”
Hantaran teks itu kelihatan ringan, tetapi mempunyai makna politik yang lebih besar.
Pemerhati politik berpandangan bahawa Zahid perlu menunjukkan kepada akar umbi UMNO bahawa partinya bukan sekadar menjadi penyokong kepada kerajaan pimpinan Anwar.
UMNO masih mempunyai suara dan kepentingan yang perlu diperjuangkan, terutama apabila dasar kerajaan memberi kesan langsung kepada rakyat.
Anwar pula perlu menunjukkan bahawa beliau tidak tergugat dengan tekanan politik daripada rakan kongsi kerajaan.
Di sinilah hubungan Anwar-Zahid menjadi unik. Mereka memerlukan satu sama lain, tetapi pada masa yang sama tidak boleh kelihatan terlalu bergantung antara satu sama lain.
Anwar memerlukan kestabilan politik dan sokongan BN untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan. Zahid pula perlu memastikan UMNO kekal relevan dan tidak dilihat hanya sebagai pelengkap kepada kerajaan.
Maka, sindiran `guru’ boleh dilihat sebagai sebahagian daripada permainan politik yang lebih besar.
Ia bukan semata-mata soal siapa guru dan siapa anak murid. Ia mengenai sejauh mana suara UMNO didengar dalam kerajaan dan sejauh mana Anwar bersedia menerima teguran daripada rakan kongsi politiknya.
Pada masa sama, mereka sedar bahawa keretakan terbuka antara PH dan BN akan menguntungkan lawan politik mereka.
Sehubungan itu, walaupun perbezaan pendapat semakin kelihatan, hubungan tersebut mempunyai kepentingan strategik.
Cuma persoalan lebih besar sekarang, bukan siapa guru dan siapa anak murid. Persoalannya ialah berapa lama mereka mampu mengekalkan keseimbangan antara persahabatan politik, kepentingan parti dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan.
Itulah ujian sebenar hubungan Anwar-Zahid menjelang politik Malaysia yang semakin menghampiri PRU16.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment