Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting, berkata walaupun BN memerlukan PN bagi memperkukuh kekuatan pilihan raya, Umno akhirnya mungkin akan membangkitkan persoalan sama ada telah membantu membina ‘kekuatan yang mampu menggantikannya’.
“PN berdepan dilema sama dari sudut bertentangan. Jika ia bekerjasama terlalu rapat dengan BN, adakah ia mengukuhkan prospek pilihan raya atau melarutkan identitinya yang membuatkan pengundi memilih PN?” katanya kepada FMT.
Ulasan Zaharuddin menyusul selepas Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, berkata mana-mana parti berhasrat bekerjasama dengan Umno mestilah berwaspada agar tidak dipengaruhi pihak ketiga.
Asyraf memetik pakatan Muafakat Nasional (MN) antara Umno dan PAS, yang menurutnya gagal disebabkan campur tangan parti lain seperti Bersatu.
Zaharuddin berkata, pakatan yang ‘sememangnya kukuh’ tidak sepatutnya terancam dengan kehadiran pemain politik lain, dan kelemahan BN serta PN sebenarnya berpunca daripada kecurigaan sesama mereka.
“Umno sedar PN bukan lagi satu kuasa politik yang boleh dipandang remeh begitu sahaja. Manakala, PN pula tahu Umno masih mempunyai sesuatu yang tidak mampu diciptanya dalam sekelip mata: jenama politik seluruh negara, jentera organisasi, dan memori institusi berdekad lamanya.
“Mereka saling memerlukan antara satu sama lain, dan itulah sebenarnya punca masalah. Setiap pihak memerlukan pihak yang satu lagi, namun tiada siapa yang mahu pihak lain jadi terlalu berkuasa,” katanya.
Wawasan ancaman baharu kepada Umno
Penganalisis politik Wong Chin Huat, berkata Wawasan kekal ancaman pihak ketiga kepada Umno, sambil Umno secara ‘semula jadi’ melihat Wawasan sebagai potensi menggantikan Bersatu.
“Wawasan seakan sama dari segi ideologi dengan Umno, justeru membangkitkan cabaran langsung. Jika PAS perlu menyokong calon perdana menteri daripada Umno atau Wawasan, ia sudah tentu akan memilih Wawasan berbanding Umno kerana ia lebih lemah dan lebih mudah dikawal,” katanya kepada FMT.
Wong berkata, memandangkan parti Melayu bersaing mendapatkan asas pengundi sama, justeru mencetuskan ‘saingan sengit dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain’.
“Mereka disatukan oleh ancaman luar, seperti semasa Umno dan PAS kedua-duanya berada dalam pembangkang, dan kerap memerlukan simbol perang budaya untuk menyatukan pengundi.
“Semakin banyak pemain (politik) yang ada, semakin sukar untuk mereka mengekalkan naratif penyatuan Melayu kerana wujud kecenderungan sesetengah parti berpakat menentang parti lain,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment