Dalam satu kenyataan, JPPM berkata pihaknya sedang meneliti kebimbangan Bersatu berhubung pengecualiannya daripada mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu yang memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen gabungan itu menjelang PRN Negeri Sembilan.
JPPM berkata pihaknya menerima surat daripada Bersatu hari ini dan sedang meneliti aduan berkenaan berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984, Perlembagaan PN yang diluluskan serta rekod rasmi JPPM.
Katanya, semua maklumat, dokumen dan penjelasan yang dikemukakan pihak berkaitan akan diteliti bagi memastikan semakan menyeluruh dilakukan mengikut undang-undang.
JPPM menegaskan semua pertubuhan berdaftar wajib mematuhi Akta Pertubuhan, peraturan berkaitan serta perlembagaan masing-masing.
“Perkara yang dibangkitkan akan diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya.
JPPM turut berkata pihaknya akan menjalankan tugas secara profesional dan tidak memihak, tanpa kepentingan terhadap mana-mana pertubuhan atau parti politik.
Pertikaian mengenai status Bersatu dalam PN timbul selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini mendakwa parti itu bukan lagi komponen gabungan pembangkang berkenaan.
Hadi berkata Perlembagaan PN menetapkan mana-mana parti yang memilih untuk menyertai atau membentuk gabungan lain akan hilang keahliannya dalam gabungan itu secara automatik.
Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini bahawa parti itu akan membentuk gabungan baharu bersama beberapa parti selepas PRN Negeri Sembilan.
Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali kemudian menolak dakwaan Hadi itu dengan berkata tiada klausa dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan penamatan keahlian parti komponen secara automatik.
Muhyiddin sebelum ini berkata Bersatu tidak dijemput menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai yang memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen gabungan itu menjelang PRN Negeri Sembilan.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment