NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pelaksanaan Islam bukan ekstremisme, tak pernah zalimi bukan Islam – Sharipuddin



BANGI, 8 RABIULAWAL l – Pelaksanaan Islam di Malaysia berdasarkan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menzalimi masyarakat bukan Islam dan tidak sepatutnya digambarkan sebagai ekstremisme agama.

Penasihat Kanan Politik dan Perundangan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Sharipuddin Ab Kadir berkata, masyarakat bukan Islam terus bebas menjalani kehidupan, mencari kekayaan serta mengamalkan budaya dan bahasa masing-masing tanpa sekatan.

Beliau berkata demikian ketika membidas kenyataan Ronnie Liu Tian Khiew menerusi hantaran Facebook bertajuk Malaysia Tidak Akan dan Tidak Patut Menjadi Negara Islam.

Dalam hantaran itu, Ronnie menyatakan bahawa Malaysia tidak akan dan tidak patut menjadi negara Islam atau negara yang diterajui ekstremisme agama.

Ronnie turut mendakwa, Malaysia tidak perlu memilih antara “Malaysia tanpa Islam” dengan “Malaysia ekstrem agama” kerana kedua-duanya bukan laluan yang sepatutnya dilalui negara.

Mengulas penggunaan istilah itu, Ustaz Sharipuddin meminta Ronnie memberikan contoh jelas mengenai fahaman ekstrem yang dimaksudkannya dan tidak menggunakan istilah berkenaan secara umum sehingga boleh dikaitkan dengan perjuangan Islam di Malaysia.

Bagi menghuraikan persoalan tersebut, Ustaz Sharipuddin membangkitkan beberapa isu yang pernah menerima bantahan umat Islam.

Antaranya ialah isu penternakan babi di Selangor, pesta arak secara terbuka dan perjudian.

Ustaz Sharipuddin mempersoalkan sama ada bantahan masyarakat Melayu-Islam terhadap perkara tersebut menyebabkan mereka boleh dianggap sebagai golongan ekstrem.

Persoalan sama turut dibangkitkan berhubung bantahan umat Islam terhadap pembinaan kuil tanpa kebenaran di tanah awam atau persendirian serta desakan supaya hukuman mandatori dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.

Dalam soal perundangan Islam pula, Ustaz Sharipuddin merujuk bantahan terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Menurutnya, cadangan pindaan tersebut hanya melibatkan umat Islam dan bertujuan meningkatkan kadar hukuman serta denda Mahkamah Syariah yang disifatkannya tidak lagi setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Adakah apabila orang Islam mengangkat martabat Syariah Islam untuk orang Islam sahaja, mereka dituduh sebagai ekstrem?” soalnya.

Ustaz Sharipuddin kemudian meminta Ronnie menjelaskan sama ada pelaksanaan Islam berdasarkan Perlembagaan Persekutuan pernah menzalimi masyarakat bukan Islam di negara ini.

Katanya, hak masyarakat bukan Islam tidak pernah disekat, termasuk di negeri yang ditadbir PAS dan parti Melayu-Islam.

“Hatta di negeri-negeri yang diperintah oleh parti-parti Melayu-Islam tidak pernah menzalimi bangsa-bangsa lain,” katanya.

Sumber | TV Pertiwi





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo