NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MB Sanusi dedah kaitan tauke judi dengan MOF




ALOR SETAR
: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menjelaskan, pihaknya telah mengambil langkah paling cermat sebelum tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi seluruh Kedah yang berkuatkuasa 1 Januari 2023 lalu.

Katanya, sebaik sahaja beliau umumkan perkara itu pada 2021, pihak Kerajaan Tempatan telah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF), berunding dan berbincang mengenai keputusan telah dibuat Kerajaan Negeri.

“Kita buat langkah paling cermat sekali, berjumpa MOF, runding dan bincang berkenaan keputusan telah buat. Kerajaan Negeri pohon MOF tidak lagi keluarkan lesen kepada syarikat perjudian kerana bermula 1 Januari 2023, Kedah tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi.

“Apabila tauke-tauke atau syarikat perjudian masih mendapat lesen judi yang dikeluarkan oleh MOF, mereka tidak dapat menjalankan perniagaan kerana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak lagi meluluskan lesen premis perjudian.

“Hal sedemikianlah, antara yang menjadi punca isu judi ini dibawa ke mahkamah oleh syarikat perjudian kerana mereka tidak boleh beroperasi walaupun memiliki lesen perniagaan,” jelas beliau.

Sanusi berkata demikian ketika berucap berucap pada majlis penjelasan isu ‘Halangan Pengharaman Judi Di Kedah’ di Dewan Seri Mentaloon, di sini malam tadi.

Tegas beliau lagi, dalam tempoh tersebut, pihaknya telah berulang-ulang kali berjumpa dengan pihak MOF agar semua urusan dibuat dengan betul dan mengikut prosedur.

“Jangan kata kita tak cermat, kita dah cermat, berhalus, teratur, tetapi oleh kerana judi ini bisnes dan perniagaan yang menguntungkan, maka orang cabar kita di mahkamah,” tambah beliau.

Maklumnya, Kerajaan Negeri berhadapan dengan dua cabaran iaitu untuk kembalikan kehendak syarikat perjudian dan membayar ganti rugi kepada mereka sepanjang tempoh premis tersebut tidak dibenarkan beroperasi.

“Yang kutip dana RM50,000 tu denda mahkamah. Tapi ganti rugi ni saya tak tau lah. Adakah selama depa (mereka) beroperasi di Kedah depa ‘declare’ (isytihar) pendapatan sebenar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau tidak?

“Kalau depa tak ‘declare‘, depa ‘claim‘ mudahlah nak patah. Kalau depa ‘declare‘ sebanyak mana yang depa ‘declare‘, kena akan bicara lagi di mahkamah. Kena ‘perang’ lagilah untuk depa tuntut ganti rugi selama tempoh lesen premis judi tidak dikeluarkan,” jelas beliau.

Selain itu kata Sanusi, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada bayaran ganti rugi kepada syarikat perjudian itu juga termasuk tempoh sebelum keputusan mahkamah dibuat atau sebaliknya.

Sungguhpun demikian, daripada keputusan itu ujarnya, secara tidak langsung, orang ramai akan dapat mengetahui berapa keuntungan yang diperolehi oleh syarikat perjudian di Kedah hasil dari aktiviti tersebut.

“Mestilah untung dan nak tuntut ganti rugi mesti depa ‘declare’ keuntungan berapa. Kita nak tengok masa tu berapa syarikat judi di Kedah ni untung dan berapa duit orang Kedah pi kepada bisnes haram judi ini,” katanya lagi.

Beliau juga menegaskan, apa sahaja sistem, peraturan mahupun undang-undang yang berkuatkuasa, selama mana ia tidak dicabar, maka akan terdedah kepada penafsiran kepentingan pihak tertentu.

Namun katanya, apabila ada pihak yang mencabar, sudah pasti langkah untuk menjadikan undang-undang itu lebih kemas akan diambil, supaya tidak lagi boleh dicabar oleh mana-mana pihak selepas ini.

“Tugas ini adalah tugas Ahli Parlimen, sama ada pembangkang mahupun kerajaan, mereka ada tanggungjawab  berkenaan hal ini. Di Kedah, kerja kita hampir selesai, sekarang bola hampir tertendang kepada MOF.

“Tengok MOF akan ‘score gol‘ untuk mereka atau ‘score gol‘ sendiri. Kelulusan lesen judi terletak kepada bidang kuasa Menteri Kewangan. Menteri Kewanganlah yang bertanggungjawab untuk tidak meluluskan lesen judi di Kedah,” tambahnya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menegaskan, Menteri Kewangan serta pihak-pihak berkaitan, boleh saksikan sendiri bagaimana kesungguhan rakyat Kedah berhubung isu judi ini.

Dana kutipan sebelum ini tegasnya, kalau tidak ditutup dalam tempoh 18 jam selepas ia ditular kepada orang ramai, beliau yakin ia boleh mencecah lebih daripada RM1 juta.

“Sekarang ini pun ada yang WhatsApps lagi, tanya betulkah dah tutup? Kita tutup sebab sasaran RM50,000 saja, sebab nak bayar ke mahkamah. Kalau nak tumpang juga bagi sumbangan, tunggu yang nak bayar ganti rugi kat syarikat judi nanti,” katanya berseloroh.

Tetapi jelas beliau, ganti rugi kepada syarikat perjudian itu mungkin akan melibatkan ratusan ribu ringgit, namun pihaknya akan tetap terus lawan hingga ke akhirnya.

“Sekupang pun duit kita tak kan bagi kat tauke judi tu, kita akan lawan dulu, walaupun sampai ke dinding. Sampai ke dinding, rapat ke dinding pun kita lawan juga. Tak boleh biar,” tegasnya lagi. – HARAKAHDAILY 26/8/2026





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo