Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, persoalan itu wajar dijelaskan memandangkan DAP sering membawa gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang menekankan kesaksamaan, integrasi nasional dan pembentukan identiti bersama rakyat Malaysia.
“Jika prinsipnya ialah integrasi nasional, mengapa ruang perkongsian antara murid pelbagai kaum dianggap ancaman?” katanya menerusi kenyataan di laman sosial, hari ini.
Menurut beliau, persoalan utama yang dibangkitkan bukan sama ada UEC patut atau tidak diiktiraf, mahupun sama ada Sekolah Wawasan merupakan dasar yang sempurna.
Sebaliknya kata beliau, persoalan itu berkaitan sejauh mana pendirian berkenaan selaras dengan gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang mahu membentuk identiti kebangsaan merentasi batas kaum.
Beliau berkata, konsep Sekolah Wawasan yang diluluskan Kabinet pada 1997 bertujuan menghimpunkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dalam satu kompleks.
Katanya, setiap sekolah kekal menggunakan bahasa pengantar, pentadbiran dan identiti masing masing, tetapi berkongsi kemudahan seperti padang, dewan dan kantin bagi menggalakkan interaksi murid pelbagai kaum sejak kecil.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat berkata, DAP bagaimanapun mengambil pendirian berbeza terhadap konsep berkenaan.
Pada 23 April 2001, Malaysiakini melaporkan bekas Setiausaha Agung DAP, Tan Sri Lim Kit Siang membidas cadangan kerajaan menambah Sekolah Wawasan dalam Rancangan Malaysia Kelapan dengan menyatakan kerajaan masih berdegil meneruskan konsep itu walaupun mendapat bantahan.
“Tiga hari kemudian, Lim menggesa Kabinet membatalkan konsep Sekolah Wawasan di Subang Jaya dan menggantikannya dengan pembinaan sebuah sekolah rendah Cina baharu.
“Pada 16 Mac 2002, Lim sekali lagi menggesa kerajaan menggantung semua projek Sekolah Wawasan, selain menuntut supaya UEC diiktiraf sebagai kelayakan rasmi,” ujarnya.
Yusfarizal berkata, alasan DAP ketika itu ialah kebimbangan bahawa Sekolah Wawasan boleh menjadi langkah awal yang menghakis identiti sekolah vernakular, menjejaskan kedudukan Lembaga Pengurus Sekolah serta membuka ruang kepada penyatuan sekolah pada masa hadapan.
Bagaimanapun katanya, konsep Sekolah Wawasan tidak menghapuskan SJK(C) atau SJK(T), sebaliknya mengekalkan bahasa pengantar, pentadbiran dan identiti sekolah masing-masing sambil menyediakan ruang perkongsian dalam kalangan murid.
Pada masa sama, beliau berkata, DAP merupakan antara parti konsisten menyokong pengiktirafan UEC, iaitu peperiksaan yang digunakan oleh sekolah menengah persendirian Cina.
Katanya, Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 turut mengandungi janji untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat am kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, tertakluk kepada syarat memperoleh kepujian Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.
Beliau berkata, sekolah sepatutnya menjadi antara ruang penting untuk membina hubungan antara kaum apabila murid berpeluang belajar, bergaul dan memahami perbezaan melalui kehidupan harian bersama.
“DAP berhak mempertahankan sekolah vernakular dan memperjuangkan UEC, tetapi parti itu juga perlu menjelaskan bagaimana pendirian tersebut boleh diselaraskan dengan slogan ‘Malaysian Malaysia’ yang menyatakan hasrat untuk membina satu identiti kebangsaan yang melangkaui batas kaum,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2026
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment