NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan heret Malaysia dalam konflik China-Taiwan, Haim beritahu Anwar



PETALING JAYA:
 Tugas perdana menteri adalah memastikan setiap kenyataannya melindungi kepentingan ekonomi, keselamatan dan hubungan antarabangsa Malaysia, kata AJK PAS Pusat Haim Hilman Abdullah.

Haim berkata Malaysia sememangnya berpegang kepada dasar Satu China, namun ia tidak bermakna Putrajaya perlu memberikan pandangan mengenai kewajaran penggunaan kekerasan terhadap Taiwan.

Menurutnya, persoalan penggunaan kekerasan melibatkan sejarah, kedaulatan dan keselamatan serantau serta hubungan Beijing-Taipei yang tidak memerlukan Malaysia bertindak sebagai ‘hakim’.

“Kita tidak memperoleh apa-apa dengan mencampuri pertikaian ini.

“Sebaliknya, kita berisiko kehilangan ruang diplomatik yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai China-Taiwan yang menurutnya meletakkan Malaysia dalam pertikaian sensitif tanpa membawa sebarang manfaat kepada negara.

Dalam satu wawancara dengan Al Jazeera baru-baru ini, Anwar berkata beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China.

Media antarabangsa melaporkan Kementerian Luar Taiwan mendakwa kenyataan Anwar bahawa Taiwan merupakan wilayah China yang mahu mencapai kemerdekaan boleh mengancam keamanan dan kestabilan serantau.

Menurutnya, kenyataan itu juga menjejaskan keyakinan syarikat dari Taiwan untuk melabur di Malaysia.

Kementerian itu turut mendakwa kenyataan Anwar itu seolah-olah mengiktiraf pendirian Beijing berhubung penggunaan kekerasan untuk mengambil alih Taiwan.

Mengulas lanjut, Haim yang juga Adun Jitra berkata Malaysia sepatutnya kekal dengan pendirian menghormati dasar Satu China sambil menggalakkan dialog dan menolak tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan.

Haim turut mempersoalkan konsistensi dasar luar kerajaan kerana Anwar sebelum ini menegaskan Malaysia mengamalkan dasar bebas dan tidak berpihak serta menyokong penyelesaian pertikaian secara aman.

“Malaysia sebagai negara perdagangan juga tidak mempunyai kepentingan untuk terheret dalam persaingan geopolitik kuasa besar, terutama ketika mempunyai hubungan ekonomi penting dengan China dan Taiwan.

“Malaysia tidak perlu menjadi pro-China. Malaysia juga tidak perlu menjadi pro-Taiwan. Malaysia perlu menjadi pro-Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kepentingan negara ialah mengekalkan hubungan dengan Beijing sambil terus berdagang dan membina hubungan ekonomi pragmatik dengan Taiwan, termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor.


Sumber | FMT Malaysia










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo