Anwar berkata Malaysia menghormati pendirian China berhubung Taiwan dan percaya pendekatan secara aman merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan.
“Dasar Satu China bermula sejak Tun Abdul Razak. Pada pandangan saya, dasar itu masih kekal. Kita mengamalkannya dan sudah tentu kita mahukan penyelesaian secara aman,” katanya kepada pemberita hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai ketidakpuasan hati Taiwan terhadap kenyataannya berhubung isu itu dalam wawancara terbaharu bersama Al Jazeera.
Perdana menteri dilaporkan berkata beliau melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada China, sambil menambah: “Ia adalah satu China. Ia diterima oleh semua pihak.”
Kenyataan itu mendapat pujian Beijing tetapi dikecam Taiwan, yang memberi amaran bahawa ‘sokongan berat sebelah’ Anwar terhadap China boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan yang melabur di Malaysia.
Anwar menegaskan semula bahawa pendiriannya selaras dengan dasar Malaysia yang telah lama diamalkan, namun berkata cara kenyataannya disampaikan oleh Al Jazeera mungkin mencetuskan reaksi negatif.
Amirudin, Saifuddin ketuai rundingan kerjasama PRN Melaka
Ditanya mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Melaka, Anwar berkata perkara itu akan dibincangkan oleh jawatankuasa yang diketuai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Amirudin Shari dan Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail.
“Itu untuk dibincangkan oleh jawatankuasa. Kita ada Amirudin dan Saifuddin untuk menguruskannya,” katanya.
Pengerusi BN Zahid Hamidi sebelum ini berkata kerjasama gabungannya dengan Perikatan Nasional (PN) untuk PRN Negeri Sembilan akan diteruskan dalam PRN Melaka.
Bagaimanapun, BN dilihat masih membuka ruang untuk bekerjasama dengan PH, dengan rundingan rasmi bersama PN masih belum bermula.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment