NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP sedang ‘dihukum rakyat’, nasib sama di Melaka, Sarawak



PETALING JAYA:
 PAS mendakwa DAP kini sedang ‘dihukum rakyat’ susulan kekalahannya pada pilihan raya di beberapa negeri, sambil meramalkan nasib sama untuk parti itu di Melaka dan Sarawak.

Setiausaha Politik Presiden PAS Syahir Sulaiman berkata, trend penolakan terhadap DAP, khususnya dalam kalangan Melayu dan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, berlaku secara ‘organik’, tanpa dipengaruhi penulisan atau amanat Presiden PAS Hadi Awang.

“DAP kini telah dan sedang dihukum oleh rakyat, ditolak di Sabah, tersingkir di Johor dan tersungkur di Negeri Sembilan.

“Malah, nasib yang sama bakal menanti DAP di Melaka dan Sarawak,” katanya menambah, DAP kini hanya mampu diselamatkan melalui undi perwakilan.

Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata demikian dalam kenyataan mengulas respons beberapa pemimpin Melayu DAP terhadap artikel terbaru Hadi yang didakwa menyinggung parti itu.

Empat pemimpin DAP sebelum ini dilaporkan mencabar Hadi menjelaskan mengapa pendirian parti itu tidak dianggap ancaman ketika kedua-duanya bekerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Persoalan itu ditimbulkan Naib Pengerusi DAP Syahredzan Johan, Penolong Setiausaha Publisiti Young Syefura Othman, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat Sheikh Umar Bagharib Ali dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid susulan tulisan Hadi bertajuk ‘Negara Islam dan Hubungannya dengan Bukan Islam’.

Mengulas lanjut, Syahir berkata PAS dan DAP sememangnya sudah lama menjadi seteru politik yang saling mengkritik ideologi, reputasi dan kredibiliti masing-masing, namun akhirnya rakyat yang menentukan penerimaan terhadap kedua-dua parti.

Tambahnya, sekiranya ucapan dan penulisan Hadi didakwa boleh menggugat ketenteraman awam, presiden PAS itu bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Terbaru, presiden PAS telah diambil keterangan oleh Bukit Aman susulan beberapa laporan polis berhubung artikel ‘Minda Presiden PAS’ yang dikatakan menyinggung DAP.

“Presiden PAS sentiasa memberikan kerjasama yang baik, malah menyatakan kesediaan untuk dibicarakan di mahkamah sekiranya ada asas dan pertuduhan terhadap beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Syahir menyifatkan kenyataan seorang Adun Melayu DAP yang menyuruh Hadi berundur daripada ruang awam sebagai ‘lekeh dan menjengkelkan’, malah mendakwa ia bernada ancaman terhadap keselamatan presiden PAS itu.

Beliau menegaskan bahawa kecaman pemimpin Melayu DAP tidak akan menjejaskan PAS dalam meneruskan perjuangan politiknya.

“Umat kini tidak lagi mempedulikan apa yang kalian pertahankan. Kami di pihak PAS pula tidak sedikit pun terjejas dengan segala kecaman dan kejian yang dilemparkan,” katanya.


Sumber | FMT Malaysia










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo