GEORGE TOWN – Isu gaji rendah yang membelenggu rakyat Malaysia memerlukan pembaharuan struktur ekonomi secara menyeluruh dan bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, kata Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader.
Beliau berkata, walaupun Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi selama beberapa dekad dan muncul sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi, ramai pekerja masih berdepan peningkatan kos sara hidup, kemampuan memiliki rumah serta ketidakstabilan kewangan.
Menurutnya, kadar upah tidak meningkat seiring dengan kos sara hidup mahupun kemajuan ekonomi negara secara keseluruhan.
“Selama beberapa dekad, model ekonomi negara banyak bergantung kepada usaha menarik pelaburan melalui kos tenaga kerja yang agak rendah serta sektor pembuatan berorientasikan eksport.
“Strategi ini berjaya mewujudkan peluang pekerjaan, mengurangkan kemiskinan dan mengubah Malaysia menjadi negara perindustrian, namun daya saing kos sering diberi keutamaan berbanding peningkatan gaji serta peralihan industri kepada aktiviti bernilai tambah lebih tinggi,” katanya di sini hari ini.
Mohideen berkata, kelemahan struktur ekonomi turut menyebabkan ramai graduan berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan yang setara dengan kelayakan dan kemahiran mereka.
Beliau memetik laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents yang mendapati hampir 40 peratus graduan berpengalaman menghadapi kesukaran memperoleh pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka.
Katanya, keadaan itu mengekang potensi pendapatan serta kemajuan kerjaya terutama dengan kemasukan berterusan graduan baharu ke pasaran buruh.
“Penggunaan tenaga kerja asing secara meluas dalam sektor seperti pembuatan, pembinaan, pertanian dan perkhidmatan makanan bukan punca utama masalah gaji rendah sebaliknya merupakan kesan daripada model ekonomi yang lama mengutamakan kos buruh rendah berbanding inovasi, produktiviti dan pembangunan tenaga kerja.
“Keadaan sama turut berlaku dalam sektor pertanian dan perikanan apabila ramai petani serta nelayan masih bergantung kepada pengeluaran komoditi mentah sedangkan sebahagian besar nilai ekonomi diperoleh pihak pemproses, pemborong dan peruncit.
“Malaysia perlu memastikan lebih banyak hasil penyelidikan dan inovasi berkembang melangkaui projek perintis kepada penggunaan secara meluas dan kejayaan komersial supaya petani serta nelayan memperoleh produktiviti, pendapatan lebih baik dan bahagian lebih besar daripada nilai rantaian bekalan,” katanya.
Tambah Mohideen, penyelesaian kepada isu gaji rendah bukan sekadar mewajibkan kadar upah lebih tinggi sebaliknya pertumbuhan upah mampan perlu disokong peningkatan produktiviti dan penciptaan nilai lebih besar.
Beliau berkata, Malaysia perlu mempercepat peralihan kepada sektor bernilai lebih tinggi, memperkukuh pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), menggalakkan inovasi dan membantu perusahaan tempatan bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai.
“Matlamatnya bukan sekadar menaikkan upah tetapi membina ekonomi yang bersaing berdasarkan produktiviti, inovasi, kemahiran dan kualiti, bukannya bergantung kepada tenaga kerja murah.
“Ekonomi maju seperti Korea Selatan, Singapura dan Jerman mencapai tahap upah tinggi melalui pelaburan dalam modal insan, inovasi serta aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi.
“Kita percaya dengan pembaharuan struktur yang menyeluruh, upah lebih tinggi mampu meningkatkan taraf hidup, memperkukuh permintaan domestik serta mewujudkan ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif untuk rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment