NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak perlu terlebih reaksi, Annuar ingatkan pemimpin BN



SEREMBAN, 12 SAFAR — Perikatan Nasional (PN) menggesa pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak memberi reaksi berlebihan terhadap kenyataan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

Ketua penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata kerjasama di antara PN dan BN penting dalam menyelamatkan politik Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

“Kepada rakan-rakan dalam PN dan BN, saya ingin menasihatkan supaya tidak memberi reaksi berlebihan dengan menari mengikut rentak sedangkan kita sedar siapa yang memalu gendang. 

“Kerana kita perlu menjaga tertib muafakat dan kerjasama di antara PN dan BN. Kerana terlalu ramai di luar sana ketakutan dan kegusaran dengan permuafakatan ini.

“Mereka ingin cuba sekali lagi supaya permuafakatan ini tidak berlaku, tidak kekal malah ada pun yang sudah meramalkan kesepakatan ini tidak boleh bertahan lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di sini hari ini mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid semalam menggesa Sanusi agar tidak meneruskan kempen pilihan raya di Negeri Sembilan selepas kenyataan Menteri Besar Kedah itu menjadi kontroversi.

Kenyataan Sanusi itu bagaimanapun dimanipulasi banyak pihak dengan mendakwa Pengarah Pilihan Raya PN itu mengusir bukan Melayu dari Malaysia. 

Annuar berkata kerjasama di antara PN dan BN perlu terus dipelihara selepas banyak pihak yang berasa kurang senang dengan kerjasama kukuh dua parti Melayu itu. 

“Saya harap masyarakat terutamanya pengundi tidak terpedaya dengan tipu helah politik yang memesongkan fakta, apatah lagi yang cuba melabelkan PAS sebagai sebuah parti fahaman sempit.

“Kita ingin memberikan isyarat bahawa permuafakatan ini bukan berlaku dalam masa 24 jam. Ia lahir daripada pemikiran pimpinan BN dan PN yang memakan tempoh rundingan yang panjang.

“PN dan BN perlu berganding bahu sepakat bermula dengan Negeri Sembilan semata-mata untuk kebaikan Malaysia pelbagai kaum,” katanya menegaskan komitmen PN.

Beliau berkata PN berasa kesal dengan sikap parti lawan yang menangguk di air keruh atas kenyataan Sanusi yang diberi tafsiran salah.

Katanya, tafsiran salah itu amat berbeza dengan maksud sebenar yang cuba disampaikan Sanusi jauh daripada maksud perkauman sempit seperti apa yang cuba dimainkan. 

“Kita faham sebagai orang lama dalam politik, peluang sentiasa dicari terutama di saat-saat akhir untuk menimbulkan kesamaran, keraguan dan memainkan sentimen kebencian.

“Tepat seperti mana yang kita ramalkan sudah ada usaha untuk menggunakan ucapan Sanusi dengan cara yang salah. Antaranya satu kenyataan individu di Selangor semalam.

“Ini adalah merupakan satu fitnah yang nyata dan laporan polis akan dilakukan terhadap individu yang berkenaan dan tindakan undang-undang bakal menyusul,” katanya.


Sumber | TV Pertiwi










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo