SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui terdapat kekhilafan ketika mengulangi petikan ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dikaitkan dengan ungkapan perkataan 'balik'.
Namun Pengarah Pilihan Raya PKR Negeri Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, perkara itu tidak menjejaskan asas laporan polis yang dibuat terhadap pemimpin Pas itu Jumaat lalu berhubung ucapan yang didakwa berpotensi membangkitkan sentimen perkauman.
"Saya mengakui terdapat kekhilafan apabila mengulangi ucapan itu dengan menggunakan perkataan 'balik'.
"Namun saya tidak pernah mendakwa perkataan tersebut merupakan petikan tepat daripada ucapan Muhammad Sanusi.
"Sebaliknya, apa yang saya bangkitkan ialah maksud tersirat daripada keseluruhan ucapan berkenaan yang boleh difahami oleh pendengar," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut beliau, fokus utama laporan polis berkenaan ialah kenyataan Muhammad Sanusi yang menyebut orang India mempunyai India, orang Cina mempunyai China manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
Katanya, kenyataan sedemikian wajar disiasat pihak berkuasa kerana berpotensi mencetuskan persepsi bahawa kaum lain merupakan ancaman kepada hak dan masa depan orang Melayu.
"Dalam kenyataan Muhammad Sanusi, beliau ada menyebut frasa 'Takut tanah ni satu hari nanti kita tak tahu, tanah ni siapa punya'.
"Maksud tersiratnya jelas dan boleh dipersoal.
'Pemimpin Pas itu mungkin tidak menyebut perkataan 'balik', tetapi bila dia kata orang India mempunyai India, orang Cina mempunyai China manakala orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu.
"Naratif itu menggambarkan kaum lain sebagai ancaman kepada hak atau masa depan orang Melayu boleh menjejaskan semangat perpaduan yang menjadi asas pembentukan negara," katanya.
Dr Sathia berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan secara adil dan profesional mengikut lunas undang-undang, termasuk menentukan sama ada ucapannya sendiri melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.
"Saya menghormati proses siasatan dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis," katanya.
Dalam perkembangan sama, Dr Sathia berkata, istilah 'barua Melayu' dan perbandingan dengan watak 'Buang' dalam filem Sarjan Hassan yang sinonim dengan pengkhianatan turut dilihat melampaui batas kritikan politik
Ini kerana beliau berpandangan kenyataan itu membawa konotasi bahawa pihak yang berbeza pandangan merupakan pengkhianat kepada bangsa.
Jelasnya, kenyataan Muhammad Sanusi itu bukan sahaja berpotensi membangkitkan kebencian dan memperkukuh prejudis, malah boleh mengeraskan sentimen perkauman serta menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Sebelum ini, Dr Sathia hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban berhubung ucapannya ketika ceramah di Jempol yang mengaitkan Muhammad Sanusi dengan kenyataan masyarakat Cina dan India perlu 'balik' ke negara asal mereka.
Terdahulu, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa Dr Sathia telah memanipulasi ucapan Muhammad Sanusi dan menuntut beliau menarik balik kenyataan serta memohon maaf secara terbuka kepada Menteri Besar Kedah itu.
Susulan kontroversi tersebut, beberapa laporan polis turut dibuat terhadap Dr Sathia pada Ahad.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment