Rosmah, 75, selaku plaintif memfailkan tuntutan samannya pada 9 Jun lalu menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Harith atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.
Beliau mendakwa defendan memaparkan imej makhluk halus, sebelum memaparkan gambarnya, dalam persembahan ‘Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour’ di Hotel Swiss-Garden, Melaka, menurut Berita Harian.
Menerusi pernyataan tuntutannya, beliau mendakwa Harith sebelum itu memberitahu penonton bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan yang gelap akan ‘melihat sesuatu yang menakutkan’.
Menurut Rosmah, ia sekali gus jelas menggambarkan dirinya sebagai sesuatu yang menakutkan dan mengaitkan plaintif dengan makhluk halus.
“Kenyataan berkenaan dibuat dengan niat jahat untuk menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik saya, selain bertujuan mengaibkan saya melalui penghinaan bentuk fizikal (body shaming).
“Perbandingan ini serius kerana ia tidak dibuat dalam konteks neutral atau dalam perbincangan biasa, sebaliknya ketika persembahan komedi di hadapan penonton secara langsung bagi meraih gelak tawa dan hiburan daripada orang ramai,” katanya.
Rosmah berkata, seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @mayychan0303 memuat naik dua rakaman persembahan itu dengan video pertama meraih 219,700 tontonan dan 3,354 tanda suka, manakala video kedua memperoleh 12,500 tontonan dan 145 tanda suka.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu berniat jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan nama baiknya selain menghinanya dengan mengeluarkan kenyataan berunsur kecaman badan.
“Kenyataan itu juga untuk merosakkan reputasi, maruah dan nama baik saya oleh kerana kedudukan saya sebagai seorang figura awam, isteri bekas perdana menteri, penaung kepada pelbagai badan amal dan persatuan, serta individu yang pernah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau memohon ganti rugi am, teruk dan teladan selain perintah injunksi yang menghalang defendan atau pembantunya daripada menerbitkan dan menyebarkan kenyataan fitnah itu.
Rosmah juga menuntut permohonan maaf tidak bersyarat daripada defendan selain menarik balik kenyataan fitnah secara bertulis yang dipersetujui plaintif dalam dua akhbar arus perdana serta di akaun media sosial yang ditentukan oleh plaintif atau peguamnya.
Rosmah yang diwakili peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bersama Nur-Diana Ezlyn Hashim mengesahkan tuntutan saman terbabit dan memaklumkan pengurusan kes ditetapkan 31 Julai.
Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Harith turut mengesahkan perkara sama.
Pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada hari ini oleh Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, Harith Iskander dalam penyataan pembelaan menafikan paparan itu menggambarkan Rosmah adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau apa-apa maksud fitnah yang dinyatakan plaintif.
“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” katanya.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment