KUALA LUMPUR – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijadikan amaran serius kepada Pakatan Harapan (PH) bukan dianggap sebagai kekalahan biasa, kata bekas Ahli Parlimen Klang (DAP), Charles Santiago.
Menurut beliau, keputusan itu membawa mesej jelas gabungan berkenaan perlu melakukan penilaian semula terhadap pendekatan politik serta kembali memberi tumpuan kepada agenda reformasi yang menjadi asas sokongan rakyat sebelum ini.
Charles berkata, antara isyarat paling ketara daripada keputusan PRN Johor ialah PH tidak lagi boleh menganggap sokongan pengundi bukan Melayu sebagai sesuatu yang kekal.
“Andaian bahawa pengundi bukan Melayu tidak mempunyai pilihan lain kini telah dicabar. Keputusan pilihan raya menunjukkan landskap politik semakin berubah dan persaingan semakin terbuka,” tulisnya dalam Facebook hari ini.
Beliau berkata, keputusan itu turut memperlihatkan perubahan corak pengundian mengikut generasi apabila lebih ramai pengundi muda bukan Melayu didakwa memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan Bersama.
Manakala pengundi yang lebih berusia masih kekal bersama PH.
Katanya, perkembangan itu perlu diberi perhatian serius kerana ia mungkin menandakan perubahan kecenderungan politik dalam kalangan generasi baharu.
Dalam pada itu, Charles berpandangan pendekatan menggunakan Pas sebagai faktor untuk mengukuhkan sokongan pengundi bukan Melayu juga dilihat semakin kurang berkesan.
Menurutnya, pengundi kini lebih cenderung menilai prestasi kerajaan, pelaksanaan reformasi dan keupayaan menunaikan janji berbanding dipengaruhi naratif berasaskan kebimbangan.
Beliau turut menolak dakwaan prestasi PH di Johor berpunca daripada kewujudan Bersama yang menurutnya baru ditubuhkan kira-kira 53 hari sebelum pilihan raya.
Sebaliknya, katanya, keputusan tersebut lebih mencerminkan rasa kecewa sebahagian pengundi terhadap beberapa komitmen reformasi yang masih belum dilaksanakan.
“Jawapannya bukan sekadar memperbaiki strategi komunikasi politik tetapi kembali melaksanakan agenda reformasi yang membawa PH ke tampuk pemerintahan,” katanya.
Sehubungan itu, Charles menggesa kerajaan mengambil beberapa langkah termasuk mendedahkan laporan siasatan terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai bukti komitmen terhadap akauntabiliti institusi.
Beliau turut mencadangkan kerajaan memperkenalkan pelan pembangunan sosioekonomi baharu bagi menangani cabaran jangka panjang masyarakat India.
Juga mewujudkan pakej perlindungan sosial yang lebih menyeluruh untuk kira-kira dua juta pekerja gig merangkumi jaminan pendapatan, perlindungan kesihatan dan simpanan persaraan.
Mengulas mengenai implikasi politik, Charles mengingatkan PH tidak mempunyai banyak masa untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
“Adalah silap jika PRN Johor dilihat sekadar satu kekalahan pilihan raya negeri. Ia juga merupakan referendum terhadap janji-janji yang gagal ditunaikan.
“Jika mesej ini terus diabaikan, Negeri Sembilan mungkin menjadi episod seterusnya,” tegasnya lagi. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment