GEORGE TOWN – Pembebasan bekas Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dijangka menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula parti itu apabila MUDA Pulau Pinang menyatakan kesediaan untuk bertanding di kesemua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran mengambil alih pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menerusi kenyataan bersama Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA, Muhammad Danial Abdul Majeed dan S. Siranjeev Ram berkata, pembebasan Syed Saddiq memberi nafas baharu kepada parti itu untuk terus menawarkan alternatif kepada rakyat.
Menurut mereka, kekalahan MUDA pada PRN Johor tidak boleh dijadikan ukuran terhadap kemampuan parti itu di Pulau Pinang kerana landskap politik kedua-dua negeri adalah berbeza.
“Ramai ketawa apabila MUDA kalah di Johor. Mereka lupa politik Johor bukan politik Pulau Pinang.
“Di Pulau Pinang, kami tidak datang untuk menjadi pelengkap, pemecah undi atau sekadar mencukupkan syarat,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, MUDA Pulau Pinang hadir untuk mencabar kerajaan negeri dan bersedia mempertimbangkan untuk bertanding di kesemua 40 kerusi DUN.
“Matlamat kami adalah mengambil alih pentadbiran negeri.
“Ramai akan kata kami gila. Dulu pun ramai kata mustahil Barisan Nasional (BN) boleh tumbang di Pulau Pinang. Sejarah sentiasa berpihak kepada mereka yang berani mencabarnya.
“Rakyat Pulau Pinang tidak seharusnya terus memilih antara dua pilihan yang disifatkan sama mengecewakan, sebaliknya sudah tiba masanya negeri itu mempunyai satu pilihan politik yang benar-benar baharu,” katanya.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini kekal dibebaskan daripada sabitan dan hukuman terhadap empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), enam tahun lalu.
Keputusan majoriti 2-1 dibuat oleh panel tiga hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment